Jurulatih memanah para negara, Marzuki Zakaria, yakin tiga emas mampu dihadirkan oleh barisan anak buahnya dalam Sukan Para ASEAN, September depan, biarpun mempertaruhkan ramai muka baru.
Bagi acara recurve lelaki, selain mempertaruhkan Hasihin Sanawi, Marzuki turut membariskan dua pemanah baru, Ahmad Jeffri Jamaluddin dan S. Suresh.
Mereka telah mempamerkan aksi memberangsangkan, terutama Jefri yang berjaya merangkul emas dalam Kejohanan Memanah Para di Bangkok Mac lalu, manakala Suresh berjaya meraih perak dalam Kejohanan Memanah Antarabangsa Fazza, Dubai, awal tahun ini.
"Kami meletakkan sasaran ini berdasarkan Sukan Para ASEAN sebelum ini, di mana skuad memanah meraih satu pingat emas dan dua pingat perak," kata Marzuki.
Mengakui berdebar untuk penampilan pertama dalam Sukan Para ASEAN, Jeffri dan Suresh tetap akan memberikan aksi terbaik untuk bersaing dengan pemanah negara lain.
Mereka akan menjadikan Republik Czech sebagai destinasi melakukan persiapan sebelum kembali ke Malaysia untuk mengibarkan cabaran dalam temasya September depan.
"Misi peribadi saya adalah meraih pingat emas. Saya berharap dapat mempamerkan persembahan konsisten bagi membantu Malaysia meraih kejayaan," kata Suresh.
Jefri turut melaungkan keyakinan sama: "Dalam tempoh tiga bulan ini, kami telah mula melakukan latihan yang berintensiti tinggi. Selepas ini, masih terdapat beberapa kejohanan yang perlu kami sertai sebagai persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN."