SUKAN LAIN
Sukan Olimpik 2020: Khairulnizam tuntut khidmat tukang urut ISN
Khairulnizam Mohd Afendy kecewa dengan keengganan Institut Sukan Negara (ISN) untuk menyediakan tukang urut buat skuad pelayaran yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan mereka bergelut dalam tiga kejohanan tahun ini.
Setakat ini, hanya Khairulnizam dan Nor Syazrin Abd Latif yang layak ke temasya Tokyo 2020.
Namun, bantuan yang mereka terima tidak semewah atlet lain apabila permohonan untuk mendapatkan pegawai sains sukan dalam tiga kejohanan awal ditolak.
Iklan
Apa yang diminta cuma seorang tukang urut untuk mengiringi skuad negara yang mencabar kejohanan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.
"Kami sudah mengesahkan kelayakan sejak Ogos tahun lepas.
"Walaupun peluang untuk kami meraih pingat mustahil, mengapa mereka tidak menawarkan kemudahan buat atlet yang sudah pun layak.
"Mungkin ia akan membantu kami untuk merakamkan pencapaian yang terbaik," katanya.
Tambahnya: "Sebelum ini, kami layak pada saat-saat akhir, justeru pencapaian kami tidak berapa 'cantik'.
"Oleh kerana kami sudah layak awal pada edisi kali ini, saya harap bantuan itu dapat diberikan."
Skuad negara dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Jepun, bulan depan, disusuli tiga ujian lain di venue temasya Tokyo 2020.
Justeru, pelayar acara laser standard itu berharap ISN meluluskan permintaan mereka.
"Terdapat ramai tukang urut di ISN dan saya berasakan proses pemulihan kami dalam sesuatu kejohanan itu tidak berapa bagus.
"Ia boleh membantu kami, sedikit-sebanyak kami dapat perbaiki prestasi.
"Ia boleh memberi kesan pada hari pertandingan," katanya.
Must-Watch Video