BOLING PADANG
Sukan Komanwel: Hizlee, Fairul resah tunggu senarai atlet
Biarpun bersandarkan status sebagai prospek pingat negara, Muhammad Hizlee Abdul Rais dan Fairul Izwan Abd Muin tetap resah menanti pengesahan senarai atlet yang akan ke Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini.
Dua peman boling padang itu adalah antara atlet yang dibawa menjalani latihan pemantapan di venue pertandingan rasmi Sukan Komanwel dari 27 Januari hingga 9 Februari lalu.
Difahamkan, senarai akhir lima atlet lelaki dan lima wanita akan diumumkan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) esok.
Iklan
Reputasi tidak membawa erti besar ketika salah satu kriteria pemilihan bagi kempen ke Gold Coast adalah prestasi semasa.
"Baru-baru ini, kami diberi peluang untuk bermain di gelanggang sebenar Sukan Komanwel. Di sana kami dapat bermain dengan pemain-pemain yang berada di ranking yang tinggi," kata Hizlee.
Fairul pula berkata: "Semasa bermain baru-baru ini, saya tidak berapa konsisten tetapi masih boleh menunjukkan prestasi terbaik."
Jika mendapat kepercayaan jurulatih, mereka akan kembali ke Gold Coast bagi kem fasa akhir sebelum melapor diri ke perkampungan sukan pada hujung bulan depan.
Ketika ini, mereka sedang beraksi dalam Kejohanan Juara Antara Juara di Bukit Kiara sebagai pemanas badan untuk ke Gold Coast nanti.
Dalam edisi di Glasgow empat tahun lalu, Hizlee dan Fairul menyumbangkan perak buat kontinjen negara menerusi acara berpasangan.
"Apa sahaja tanggungjawab yang diberi, saya harus pikul sepenuhnya. Pada saya, tiada masalah lama atau sekejap latihan yang diberikan. Kami akan lakukan yang terbaik demi negara," kata Hizlee lagi.
"Cabaran di Gold Coast sama sahaja dengan melibatkan pemain di rangkit enam teratas. Jadi, siapa yang kurang melakukan kesalahan, dia akan menang," tambah Fairul.
Must-Watch Video