Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Komanwel bukan lagi keutamaan Malaysia?

huang-ying-how_5.jpg
Selepas melihat prestasi tidak menentu atlet negara di Gold Coast, Chef-de-mission (CDM) kontinjen negara, Huang Ying How, menimbulkan persoalan sama ada negara perlu memberikan keutamaan terhadap Sukan Komanwel pada masa akan datang.

Asas dibangkitkan Ying How ialah kebanyakan atlet negara melalui jadual pertandingan yang ketat sebelum atau selepas Sukan Komanwel.

Perkembangan itu membuatkan ada sebahagian mereka berdepan kelesuan fizikal atau mental yang mampu membawa kepada masalah lebih serius seperti kecederaan.

Antara mereka yang berdepan masalah sedemikian ialah Azizulhasni Awang dalam berbasikal dan beberapa atlet negara dalam badminton.

"Kita perlu memutuskan sama ada Sukan Komanwel perlu menjadi keutamaan atau tidak. 

"Ini kerana banyak kejohanan berlangsung sebelum dan selepas temasya ini. 

"Saya berikan contoh, sukan berbasikal yang menghadapi kejohanan besar yang lain tiga minggu sebelum temasya. 

"Kadangkala saya fikirkan, adakah ini yang kita mahukan. 

"Banyak atlet yang tergesa-gesa selepas Sukan Komanwel, termasuk persatuan saya (skuasy) akan beraksi di Alguna (Sepanyol), skuad menembak akan ke Korea Selatan, termasuklah skuad terjun yang menyertai pertandingan penting sebelum dan selepas temasya ini," katanya.

Ying How juga memberikan cadangan agar satu kerjasama penyelarasan jadual pertandingan melibatkan atlet diwujudkan sebelum mereka hadir ke satu temasya besar seperti Sukan Komanwel.

Ia penting agar atlet yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel selepas ini berada pada tahap fokus terbaik daripada segi fizikal dan mental.

"Mesej saya kepada kontinjen Malaysia, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), kita selalu menekankan adakah kita mampu beraksi baik di dalam sesebuah kejohanan besar selepas atau sebelum menyertai sesuatu pertandingan.

"Skuasy, misalnya, yang beraksi dari hari pertama sehingga hari terakhir, ia sungguh memenatkan. 

"Jika anda menyertai sesebuah kejohanan besar beberapa minggu sebelum Sukan Komanwel, anda pasti tidak boleh (beraksi baik)," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video