Skip to main content

Sukan Lain

Sukan hoki ais makin dapat tempat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-ais.jpg
Jika dahulu, Malaysia boleh dianggap asing dalam sukan yang menjurus ke musim sejuk.

Senario itu berubah, khususnya ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, ditambah dengan kejayaan bersejarah Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Selepas Julian Yee daripada luncur ais dan Jeffery Webb dalam acara ski, mungkinkah hoki ais selepas ini akan mengikut jejak sama ke temasya sukan terbesar dunia itu?

Sukan hoki ais masih baru di Malaysia, namun impaknya mula terasa selepas berakhirnya Sukan SEA 2017.

Di sebalik pelbagai permasalahan dihadapi sebelum bermulanya temasya itu, hoki ais membuktikan bahawa mereka bukan sekadar satu sukan pertunjukan.

Persoalannya kini, apakah ia satu sukan yang praktikal sehingga mampu dinikmati setiap lapisan masyarakat dan apakah potensi sukan hoki ais untuk berkembang dalam suasana iklim Malaysia yang bersifat Khatulistiwa.

Hoki ais wujud sekitar tahun 1800 di selatan Kanada dan mula mengalami evolusi dan bertapak di seluruh dunia. Malaysia mula menjadi sebahagian daripada warga hoki ais dunia pada 2006 dan menjadi ahli gabungan Persekutuan Hoki Ais Antarabangsa (IIHF) pada tahun yang sama.

Setahun kemudian, mereka mula mengorak langkah dengan bersaing dalam Sukan Asia Musim Sejuk di Changgun, China, pada 2007.

"Dulu kemudahan kurang. Pada masa sama, pendedahan dan publisiti tidak ada walaupun kita mempunyai venue hoki ais dan figure skating. 

"Saya sendiri mula menceburi hoki ais sejak berumur 13 tahun lagi, iaitu lebih 40 tahun lalu," kata Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Ais Malaysia (MIHF), Haniff Mahmood.

Malaysia kini mempunyai tujuh gelanggang luncur ais, namun hanya satu yang menepati tahap untuk melangsungkan perlawanan hoki ais, iaitu Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS) di Damansara.

Tidak seperti Thailand yang merupakan antara pelopor sukan hoki ais di Asia Tenggara, Malaysia masih bergantung kepada pemaju pusat beli belah di bandar besar untuk membina gelanggang luncur ais.

"Kita mungkin ketinggalan dengan Thailand lebih daripada lima tahun. 

"Kita masih berkemampuan untuk mengejar kedudukan Thailand dalam tempoh tiga tahun menerusi program pembangunan, promosi, venue dan sokongan kerajaan. 

"Ini tidak berlaku kepada Thailand yang tidak mempunyai sokongan pihak kerajaan tetapi mereka mempunyai bilangan pemain yang ramai. 

"Dengan adanya kemudahan, pemain akan hadir dengan sendirinya," kata jurulatih hoki ais negara, Kristof Kovago. 

Bagaimanapun, ia secara tidak langsung membuktikan faktor iklim dan cuaca sesebuah negara tidak akan menjadi penghalang untuk sukan musim sejuk, terutama hoki ais untuk berkembang di Malaysia.

"Sekarang ini zaman teknologi. Kita mampu mewujudkan salji tiruan dan tidak mustahil negara yang tidak mengalami musim sejuk mampu melahirkan jaguh.

"Ia tidak mustahil," kata Haniff lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video