Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Dalam Neraca Bajet 2026: Antara Prestasi Elit dan Agenda Inklusif

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

peterr.jpg
Apabila Anggaran Belanjawan Persekutuan 2026 dibentangkan baru-baru ini, perhatian ramai tertumpu kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan negara yang mencecah RM421.2 bilion. Namun, di sebalik angka besar itu terserlah satu mesej penting:

Malaysia kini menempatkan sukan bukan lagi sebagai aktiviti sampingan, tetapi sebagai sebahagian daripada pelan strategik pembangunan sosial dan ekonomi negara. Melalui laporan rasmi Kementerian Kewangan dan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, sektor sukan diperuntukkan lebih RM580 juta.

Jumlah ini meliputi pelbagai aspek termasuk persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, pengukuhan program sukan prestasi tinggi, serta pemerkasaan sukan Paralimpik dan Sukan Orang Pekak.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM120 juta disalurkan khusus bagi persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027. Ini bukan sekadar peruntukan untuk acara, tetapi pelaburan kepada keupayaan negara bersaing dan mengembalikan kegemilangan di pentas Asia Tenggara.

Dalam masa yang sama, Program Road to Gold (RTG) turut menerima peningkatan dana daripada RM10 juta kepada RM12 juta. Peningkatan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi, termasuk aspek latihan, sains sukan, pemulihan, dan pendedahan antarabangsa bagi atlet yang berpotensi membawa pulang pingat di kejohanan dunia.

Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah, sukan orang pekak turut diberi pengiktirafan rasmi melalui Bajet 2026. Pengiktirafan ini menjadi detik bersejarah bagi komuniti pekak negara yang selama hampir empat dekad memperjuangkan ruang dan perhatian setaraf dengan atlet arus perdana dan para-atlet. Perkembangan ini memperlihatkan keinginan kerajaan untuk membina ekosistem sukan yang lebih inklusif dan seimbang, seiring dengan semangat “Sukan untuk Semua” yang dilaungkan selama ini.

Secara amnya, peruntukan besar ini diagihkan melalui tiga saluran utama. Pertama, sukan prestasi tinggi yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara. Program RTG dan Podium berasaskan prinsip merit di mana atlet dipilih mengikut ranking dunia, pencapaian semasa, serta potensi pingat masa depan.

Atlet yang menepati piawaian ini akan menerima sokongan penuh merangkumi elaun, khidmat kepakaran sains sukan, dan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa. Ini menunjukkan bahawa pendekatan Kementerian Belia dan Sukan terhadap sukan berprestasi tinggi adalah berasaskan pencapaian sebenar, bukan populariti semata-mata.

Saluran kedua ialah pembiayaan bagi sukan Paralimpik dan sukan orang pekak yang menumpukan kepada keperluan sebenar atlet dan organisasi yang terlibat. Dalam konteks ini, keperluan bukan sekadar bermaksud bantuan kewangan, tetapi juga akses kepada kemudahan latihan, peralatan khas, tenaga pakar, dan jurulatih yang memahami ciri unik setiap kumpulan atlet. Kos bagi melatih para-atlet dan atlet pekak selalunya jauh lebih tinggi, namun kesannya terhadap maruah dan semangat kebangsaan tidak ternilai.

Walaupun pendekatannya berasaskan keperluan, pencapaian tetap menjadi ukuran utama, selaras dengan objektif melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Saluran ketiga ialah melalui dana padanan dan komuniti seperti Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti. Inisiatif ini menggalakkan penglibatan pihak swasta serta masyarakat dalam memperkasa pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Meskipun tumpuannya lebih kepada sukan massa, inilah ruang yang melahirkan bakat-bakat baharu yang kelak berpotensi menyertai program prestasi tinggi. Pendekatan ini membuktikan bahawa pelaburan dalam sukan bukan hanya tentang pingat, tetapi juga tentang membina asas yang kukuh untuk generasi masa depan.
Persoalan yang sering dibangkitkan ialah adakah pengagihan bajet ini dibuat berdasarkan prestasi, populariti atau keperluan?

Jawapannya bergantung kepada kategori sukan yang dimaksudkan. Untuk sukan berprestasi tinggi, asasnya jelas berteraskan prestasi. Bagi sukan Paralimpik dan sukan orang pekak, pendekatannya berasaskan keperluan kerana setiap program menuntut sokongan yang bersesuaian dengan cabaran dan kapasiti masing-masing.

Populariti sukan seperti bola sepak atau badminton memang membawa kesan terhadap penajaan dan publisiti, namun bukan menjadi penentu utama dalam pengagihan bajet kerajaan. Dalam konteks Belanjawan 2026, populariti berfungsi sebagai pengganda nilai melalui tajaan dan sokongan swasta, bukan faktor utama dalam keputusan fiskal.

Melihat kepada hala tuju ini, kerajaan wajar mempertimbangkan satu formula baharu yang lebih telus, menyeluruh dan berasaskan data. Pendekatan yang menggabungkan empat komponen utama iaitu prestasi, persiapan, penyertaan dan keadilan sosial boleh dijadikan panduan dalam menentukan agihan dana masa hadapan.

Langkah ini bukan sahaja memastikan keberkesanan setiap sen yang dibelanjakan, malah menjamin bahawa semua kategori atlet, sama ada elit, para atau pekak,  menerima sokongan yang setimpal.

Kesimpulannya, Belanjawan 2026 menunjukkan satu anjakan penting dalam cara Malaysia melihat dan menilai nilai sebenar sukan. Ia bukan lagi perbelanjaan, tetapi pelaburan kepada maruah, kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

Program RTG menegaskan pentingnya merit dan prestasi, manakala sukan Paralimpik dan sukan orang pekak membuktikan nilai kemanusiaan dalam dasar pembangunan negara.

Jika dana ini terus diurus dengan telus, inklusif dan berorientasikan hasil, maka setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjadi simbol kekuatan rakyat Malaysia, bukan hanya di podium, tetapi juga dalam semangat untuk bersatu di bawah bendera yang sama.

Dr Mohd Firdaus Bin Abdullah
Timbalan Dekan Pembangunan
Fakulti Sukan dan Sains Eksesais
Universiti Malaya

 
Snacks

Snek Sihat Untuk Semua

Snek Heal’s Protein Puffs ni untuk korang yang suka snek tapi nak kekal sihat.


Cuba Sekarang

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video