Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Nauraj sedia bangkit

nauraj27418.jpg
Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, bertekad mahu menjadikan Sukan Asia Indonesia, Ogos ini, sebagai medan kebangkitan selepas mengakui masih kecewa dengan apa yang berlaku dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April lalu.

Nauraj, yang kini dalam rangka persiapan menghadapi Kejohanan Olahraga Terbuka Jepun minggu depan, berharap mampu meningkatkan kembali prestasi selepas beraksi hambar di Gold Coast.

Keazamannya boleh dilihat apabila dia langsung belum berehat dan meneruskan latihan sejak pulang dari Gold Coast dua minggu lalu.

"Kami sudah mengenal pasti banyak perkara yang mana ia boleh boleh diperbaiki. Kami mahu perkara seperti itu tidak berulang lagi, terutama dalam Sukan Asia. 

"Di sana, saya benar-benar mahu membuktikan kemampuan saya. Sudah tentu dalam Sukan Asia adalah saingan sukar," katanya.

Mengenai kritikan sesetengah pihak mengatakan dia gagal menggunakan kelebihan biarpun mendapat begitu banyak keistimewaan dalam Program Podium , Nauraj menganggap isu itu mampu memberi motivasi kepadanya.

Tambah Nauraj, dia mahu terus bertahan dalam program tersebut yang memberi banyak manfaat kepada dirinya.

"Saya rasa satu kelebihan dapat menjadi sebahagian daripada Program Podium. Ia banyak membantu saya dan membawa kami menjadi atlet profesional.

"Saya sangat berterima kasih kerana peluang yang diberikan dan saya akan berusaha sedaya mampu untuk mempertahankannya," katanya lagi.

Prestasi juara Sukan SEA tiga kali itu menurun sejak memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura tahun lalu.

Dan walaupun lompatan 2.24m berjaya memenangi emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Nauraj gagal memberi saingan dalam Sukan Komanwel apabila hanya mencatat 2.18m.

Advertisement

Must Watch Video