SEPAK TAKRAW
Sukan Asia Hangzhou: PSM kecewa mutu pengadilan final sepak takraw
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, kecewa dengan layanan pihak Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) kepada Malaysia terutama dalam Sukan Asia Hangzhou 2022, Sabtu lalu.
Biarpun akur Malaysia gagal mempertahankan pingat emas acara regu, namun dia tetap kesal dengan beberapa insiden melibatkan keputusan pengadil yang disifatkannya sebagai meragut semangat pemain negara.
Antara insiden final ketika berdepan Thailand yang dipersoalkan PSM ialah hadangan dilakukan Zarif Marican Ibrahim Marican dikatakan melepasi jaring ketika kedudukan sengit 18-19 set kedua.
Iklan
Begitu juga dengan insiden di kedudukan 19-20 apabila libasan perejam Thailand, Pichet Pansan, yang terkeluar gelanggang diberikan mata oleh pengadil sekali gus menghadiahkan pingat emas buat negara Gajah Perang itu.
"Kalau kalah dengan cara betul kami OK (terima) seperti Sukan SEA di Vietnam, Kemboja. Kami akur sebab gagal berikan persembahan terbaik.
"Kalaulah Malaysia ada momentum baik untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kami mampu dapat emas tapi akhirnya diragut begitu sahaja dengan keputusan yang tidak sepatutnya," katanya ketika ditemui di Setapak.
Sumali dalam perkembangan sama turut mempersoalkan tindakan badan induk Asia itu yang tidak memberikan penghormatan kepada wakil PSM untuk menyertai upacara penyampaian hadiah dalam kedua-dua final melibatkan Malaysia.
"Sampai bila sepak takraw kita dihormati negara lain" Janganlah pandang kita macam kuasa kecil.
"Saya tidak boleh duduk diam, saya tidak mahu bercerita panjang nanti jadi pergaduhan besar lagi.
"Soal ASTAF nak mari itu soal lagi tapi sebagai presiden PSM saya perlu suarakan perkara ini.
"Bukan regu sahaja malah acara berpasukan juga saya lihat sampai habis," katanya di Nadi Arena.
Must-Watch Video