HOKI
Sudah sampai giliran UniKL hadapi ujian sebenar
Selepas meraih empat kemenangan berturut-turut bertemu lawan yang kurang kompetitif, pendahulu Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia (LHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal berdepan ujian sebenar apabila bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) esok.
UniKL pastinya mampu berbangga dengan empat kemengan bersih selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), TNB, TNB Thunderbolt serta UiTM-KPT, tetapi mereka pasti tidak akan mendapat laluan mudah bertemu KLHC yang dilabel pasukan pilihan musim ini.
Pengendali UniKL, Arul Selvaraj, mengakui kesukaran yang bakal dihadapi barisan pemainnya tetapi tetap menuntut mereka meraih tiga mata penuh.
Iklan
"Selepas empat kemenangan, saya rasa setiap pemain lebih berkeyakinan apabila turun menentang KLHC.
"Cuma saya harap mereka tidak lagi hilang fokus seperti yang berlaku dalam perlawanan terdahulu yang pada akhirnya membenarkan lawan menjaringkan gol.
"Sudah tentu juga misi utama kami adalah untuk meraih kemenangan," katanya.
Jelas Arul, beliau cukup menghormati KLHC yang pada pandangannya lengkap di setiap posisi.
"Barisan pemain tengah serta tonggak pertahanan mereka sangat bagus.
"Tapi saya rasa mereka juga belum benar-benar diuji. Saya rasa kami adalah pasukan pertama yang benar-benar akan menguji mereka.
"Saya tidak tahu secara keseluruhan kekuatan lawan tapi sudah tentu kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih mata," katanya.
Antara perlawanan tumpuan lain esok adalah membabitkan Maybank serta Terengganu Hockey Team (THT).
Maybank pastinya mahu kembali meraih kemenangan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, iaitu di tangan TNB dan KLHC.
Dua perlawanan lagi membabitkan TNB Thunderbolt bertemu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) serta TNB bertemu UiTM-KPT.
Jadual perlawanan Liga Premier
22 Januari 2017
Maybank lwn THT, 6.00pm (Stadium Hoki Bukit Serindit)
TNB Thunderbolt lwn SSTMI, 5.00pm (Stadium SSTMI)
KLHC lwn UniKL, 6.00pm (Stadium Hoki KLHA)
TNB lwn UiTM-KPT, 8.00pm (Stadium Hoki KLHA)
Must-Watch Video