Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Nafiizwan lega akhiri penantian emas

skuasyy1.jpg
Penantian berakhir dalam penampilan ketiga Sukan Asia. Itu reaksi kapten pasukan skuasy lelaki negara, Nafiizwan Adnan, yang lega penantian pingat emas sejak 2010 berakhir di Jakarta, semalam. 

Siapa sangka, skuad skuasy lelaki yang tidak diberi harapan besar untuk mendapatkan emas menjadi wira sebenar yang menyelamatkan sasaran tujuh emas yang disasarkan kontinjen negara.

Berhadapan Hong Kong, sekali lagi Malaysia turun sebagai bukan pilihan untuk memenangi emas tatkala lawan dibarisi pemain yang berada dalam kelompok 30 terbaik dunia.

"Alhamdulillah, ini adalah usaha selama lapan tahun, tiga penampilan dalam Sukan Asia dan akhirnya kami mencapainya.

"Sokongan daripada rakyat Malaysia telah membuatkan kami menguasai Asia dengan satu emas, satu perak dan dua gangsa. Kami sangat berbangga," kata Nafiizwan.

"Saya tewas (acara individu) selepas mendahului 2-0, jadi kali ini saya memberitahu diri sendiri bahawa tiada apa yang merugikan dan hanya akan memberikan segala kudrat. Ia berhasil."

Selepas Malaysia ketinggalan ekoran kekalahan Ivan Yuen dalam aksi pertama, Nafiizwan bangkit menampilkan contoh terbaik buat rakan-rakannya untuk menghidupkan semula harapan dengan melakar kejutan menerusi kemenangan 11-9, 11-7, 11-7 ke atas pemain ke-19 dunia, Max Lee.

Seterusnya, aksi penentuan menerusi Ng Eain Yow berakhir dengan kejayaan termanis buat negara.

Melewati prestasi turun naik sebelum Sukan Asia Jakarta-Palembang, Eain Yow membuktikan penguasaannya menerusi kemenangan straight set 11-7, 11-7, 11-4.

"Saya rasa kejayaan ini adalah hasil daripada pengorbanan besar daripada jurulatih. Dia telah memberi tunjuk ajar kepada kami. Dia merupakan sebahagian daripada pasukan dan berhak meraikan kemenangan ini," ujar Eain Yow.

"Seperti apa yang dikatakan sebelum ini oleh kapten, kali ini adalah penampilan ketiga buat mereka. Walaupun ini pentas pertama saya dalam Sukan Asia, saya tahu potensi yang dimiliki dan turun tanpa memikirkan tekanan. Akhirnya, saya dapat melakukan apa yang harus disudahkan."

Advertisement

Must Watch Video