Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Skuasy Terbuka Malaysia: Wee Wern kembali temui rentak

skuasy.jpg
Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, kini dalam momentum terbaik selepas berehat panjang akibat kecederaan untuk mara ke suku akhir dengan mudah dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini. 

Wee Wern, yang turun selaku pemain pilihan kedua, menjadi tumpuan kali ini selepas 20 bulan tidak beraksi akibat kecederaan ACL, di mana Kejohanan Kebangsaan 2016 adalah yang terakhir untuknya. 

Meskipun agak perlahan mendapatkan rentak, dia mula mengorak langkah dengan lebih teliti bagi mengharungi pusingan pertama berdepan Zoe Foo Yuk Han untuk menang straight set 11-7, 11-4, 11-3. 

Bekas juara kebangsaan 2014 itu nyata ingin menikmati satu demi satu perlawanan untuk melayakkan diri ke final. 

"Seperti yang dilihat, saya gementar sedikit pada permulaan dan ia mengambil masa untuk kembali menyesuaikan diri.

"Tetapi saya bermain baik sepanjang perlawanan. Jadi, ia memberikan keyakinan dan ia membantu membina momentum untuk perlawanan esok," kata Wee Wern.

Pemain utama, S. Sivasangari, turut mara ke suku akhir apabila menang ke atas Noor Ainaa Amani Ampandi 11-7, 11-5, 11-8 dan kini dalam misi untuk meraih gelaran pertama dalam kejohanan itu selepas tidak beraksi tahun lalu. 

Namun, ia bukan mudah apabila naib juara edisi lalu, Rachel Arnold, dalam pemburuan sama selepas dilihat selesa dengan ketiadaan juara bertahan, Datuk Nicol David, tahun ini apabila melepasi pusingan pertama untuk mengatasi Wong Heng Wai 11-6, 11-4, 11-7.

"Tahun lalu, saya tidak mengambil bahagian kerana terlibat dengan peperiksaan. Tahun ini, saya mahu memenanginya.

"Sudah tentu sukar kerana Rachel, Wee Wern dan Aifa Azman turut bermain. Ramai pemain muda juga sedang meningkat naik," kata Sivasangari. 

"Ia peluang 50-50 untuk semua pemain. Semua orang bernafsu untuk menang. Saya rasa ia saingan yang baik di antara kami," kata Rachel.

Advertisement

Must Watch Video