Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Syafiq-Eain Yow kejutkan Nafiizwan-Ivan

skuasy12418.jpg
Pemain muda negara, Mohd Syafiq Kamal dan Ng Eain Yow, membuat kejutan dengan menyingkirkan Mohd Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen menerusi kemenangan 2-1 dalam pusingan 16 acara skuasy beregu lelaki, Sukan Komanwel Gold Coast di Studio Oxenford, hari ini.

Selaku pemain senior, Nafiizwan dan Ivan diramal tiada masalah untuk menjinakkan Syafiq-Eain Yow yang baru menjejaki pentas Komanwel buat kali pertama.

Set pertama, Nafiizwan-Ivan mudah menang 11-4, bagaimanapun Syafiq-Eain Yow ada perancangan berbeza dalam set kedua walaupun ketinggalan 1-7 pada satu ketika.

Mereka melakar kebangkitan hebat menerusi kemenangan 11-9 untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Aksi kejar-mengejar mata cukup menarik dalam set ketiga sehingga kedua-dua gandingan itu terikat 10-10 sebelum tuah nyata memihak kepada Syafiq-Eain Yow untuk melangkah ke suku akhir.

"Jujurnya, pada awalnya kami tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Saya fikir kami bermain baik dalam set kedua selepas tewas set pertama," kata Eain Yow.

"Saya hanya fikirkan untuk hanya terus bermain panjang selama mungkin. Kalau dapat peluang, kami terus lakukan. Tetapi kedua-dua pihak menunggu peluang untuk menyerang.

"Tetapi, akhirnya mereka melakukan kesilapan dan ia bonus untuk kami," kata Syafiq.

Sementara itu, Nafiizwan dan Ivan mengakui tidak berasa malu di sebalik kekalahan itu dan mengucapkan syabas kepada lawannya itu yang membuktikan mereka berhak muncul sebagai pemenang.

"Walaupun saya kalah dan sedih, begitu juga Ivan. Tetapi pada masa sama, kami rasa mereka mempunyai harapan dan peluang cerah untuk lebih maju pada masa depan. Mungkin hari ini mereka lebih layak," kata Nafiizwan. 

"Mereka bukan pilihan, tiada kekecewaan kalau kalah. Saya fikir mereka bermain baik hari ini. Saya juga fikir mereka bermain sehabis baik dan mereka mendapatkannya," kata Ivan.
 

Advertisement

Must Watch Video