Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Penantian lapan tahun berbaloi -- Nafiizwan

nafiizwan.jpg
Tiada dalam sasaran tapi pingat emas Sukan Asia Jakarta-Palembang ini jawapan terbaik. Itu yang disimpulkan dua pemain skuasy lelaki negara, Nafiizwan Adnan dan Ng Eain Yow, sebaik menamatkan penantian emas berpasukan lelaki buat julung kalinya dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, malam tadi. 

"Ini adalah usaha lapan tahun dan final ketiga kami dalam acara berpasukan Sukan Asia. 

"Alhamdulillah kami mencapai kejayaan sebagai pasukan. 

"Kami mendapat sokongan rakyat Malaysia. 

"Dengan menguasai Sukan Asia melalui dua emas, satu perak dan dua gangsa, kami sangat bangga dengan pasukan skuasy. 

"Saya kalah kepada Max Lee Ho Yin 2-0 (acara individu lelaki). Jadi, kali ini saya berpesan kepada diri sendiri, 'saya tidak rugi apa-apa' lalu saya mencurah segala-galanya dan ia berhasil. 

"Saya mendapat sokongan hebat, ia menjadi perbezaan pertarungan ini berbanding minggu lepas," kata Nafiizwan. 

Sementara itu, Eain Yow dilihat mengalungkan medal kemenangannya kepada jurulatih, Peter Genever, sejurus berakhirnya majlis penyampaian pingat. 

"Sebagai jurulatih, dia banyak berkorban dan memberi tunjuk ajar kepada kami. 

"Saya mahu menghadiahkan dia sesuatu kerana dia adalah sebahagian daripada kami.

"Dia bertungkus-lumus untuk pasukan, saya gembira dengan semua orang," katanya. 

Eain Yow, yang menjadi taruhan terakhir Malaysia, menjamin kejuaraan menerusi kemenangan 11-7, 11-7, 11-4 ke atas Leo Au Chun Ming. 

Tambahnya: "Walaupun ini kali pertama saya menyertai Sukan Asia, saya tahu potensi sebenar yang dimiliki.

"Saya turun dengan memberi tekanan yang hebat dan yakin mampu menang. 

"Saya tenang dan akhirnya dapat melakukan apa yang sepatutnya."


 

Advertisement

Must Watch Video