GOLD COAST 2018
Skuasy: Nicol, Nafiizwan sasar emas
Satu lagi ranjau perlu dilalui di peringkat separuh akhir oleh dua pemain skuasy negara, Datuk Nicol David dan Nafiizwan Adnan, bagi memastikan kilauan pingat Sukan Komanwel Gold Coast mampu berada dalam genggaman.
Nicol sudah bersedia berdepan rintangan separuh akhir daripada bintang New Zealand, Joelle King, pemain yang baru ditewaskannya dalam Kejohanan Juara Antara Juara di New York, Januari lalu.
Ironinya, Joelle juga adalah lawan sama yang ditunjukkan jalan keluar di peringkat separuh akhir dalam temasya Glasgow 2014.
Iklan
"Saya akan berehat untuk pulih. Jika saya boleh mengekalkan permainan konsisten, saya boleh mara lagi. Semuanya kini adalah bonus untuk saya," kata Nicol.
Nicol mempamerkan semangat juang menakjubkan ketika menumpaskan seteru lama dari England, Alison Waters, di peringkat suku akhir, semalam.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, Nafiizwan tentu diberi perhatian besar dalam aksi hari ini selepas mengejutkan pilihan utama dan juara bertahan, Nick Matthew, dalam suku akhir semalam.
Bertemu seorang lagi bintang England, James Willstrop, pemain berusia 32 tahun itu tidak mahu langkahnya terhenti sambil enggan gentar dengan reputasi hebat lawannya.
"Sasaran hari ini (semalam) untuk menang dengan Matthew, dan esok (hari ini) mahu menang dengan Willstrop.
"Saya akan berdoa dan berusaha dengan lebih keras. Saya akan membuat persiapan rapi, makan cukup, minum cukup, tidur cukup selain dibantu barisan kejurulatihan," kata Nafiizwan.
Must-Watch Video