Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Nafiizwan tewas di tangan Willstrop

nafiizwan8418.jpg
Hajat menggunung pemain skuasy lelaki negara, Mohd Nafiizwan Adnan, untuk mencipta kejutan buat kali kedua tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada pilihan kedua, James Willstrop dari England, di peringkat separuh akhir Sukan Komanwel di Studio Oxenford, hari ini.

Pemain kelahiran Terengganu itu tumpas 6-11, 10-12, 4-11 dalam tempoh 50 minit.

Kegagalan menang dalam set kedua dianggap Nafiizwan sebagai faktor dia tewas kepada pemain England itu yang memperagakan aksi hampir sempurna.

Walaupun mendahului 8-5, dia membenarkan lawannya itu mengutip mata demi mata, sebelum Willstrop merampas set itu dengan kemenangan 12-10.

Terikat 3-3 pada awal set ketiga, cabaran Nafiizwan terus layu apabila dia mampu mengutip satu mata sahaja untuk tunduk 4-11.

"Saya betul-betul rasakan perlawanan tadi, set kedua. Saya terlalu teruja. Tetapi ia bukan alasan untuk saya kalah hari ini.

"Ada beberapa mata yang saya dapat tetapi dia lebih berpengalaman untuk kalahkan saya," kata Nafiizwan.

Selepas kecewa impian mencipta sejarah mara ke final tidak kesampaian, Nafiizwan bertekad tidak mahu pulang tangan kosong dalam aksi penentuan tempat ketiga, esok.

Katanya, tidak kira Joel Makin dari Wales atau pemain Scotland, Paul Coll, dia sedia bangkit serta segera melupakan kekalahan ini.

"Saya perlu pastikan prestasi saya sama seperti semalam untuk memastikan saya lebih bersedia daripada hari ini. 

"Saya perlu lupakan apa yang berlaku hari ini. Keburukan hari ini saya akan cuba perbaiki dengan sokongan pasukan. Doakan saya untuk membawa pulang gangsa," katanya lagi.

Nafiizwan semalam mengejutkan juara bertahan dan juara dunia tiga kali, Nick Matthew dari England, dalam suku akhir.

 

Advertisement

Must Watch Video