Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Nafiizwan buru pingat kedua

nafiizwan10418.jpg
Pemain skuasy negara, Nafiizwan Adnan, tampak masih bernafsu memburu pingat selepas melakukan permulaan mantap bersama gandingannya, Ivan Yuen, dalam acara beregu lelaki Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Nafiizwan, yang membuat penampilan ketiganya di pentas Sukan Komanwel, melakar sejarah apabila menjadi pemain lelaki pertama negara meraih pingat dalam temasya empat tahun sekali itu.

Memenangi gangsa acara perseorangan, dia kemudian turun dalam acara beregu bersama Ivan dan mudah membenam cabaran Othni Bailey dan Omari Wilson dari Saint Vincent 11-6, 11-3 dalam tempoh 11 minit.

"Kemenangan beregu bukan untuk diri saya sendiri, ia untuk kami berdua.

"Saya tidak mahu menghampakan gandingan saya, kami berdua sudah lama bekerjasama," kata Nafiizwan.

Nafiizwan dan Ivan akan berdepan lawan lebih kuat dalam aksi kedua apabila bertemu Lance Beddoes dan Evans Williams dari New Zealand, esok.

"Saya rasa ia tidak akan menjadi mudah. Kami sudah bertemu sebelum ini tetapi kami tidak tahu strategi mereka.

"Kami bersedia untuk perlawanan esok dan kami akan membuat persediaan rapi," kata Ivan.

Advertisement

Must Watch Video