SUKAN LAIN
Skuasy bakal dapat presiden baru
Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How, tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya selama empat tahun itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SRAM pada 13 Mei depan demi memberi laluan kepada muka baru.
Tindakan Ying How itu patut dicontohi memandangkan hanya segelintir presiden persatuan sukan di Malaysia yang sanggup memberi laluan kepada individu lain untuk memegang jawatan tertinggi.
Apatah lagi, SRAM diberi penarafan lima bintang oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia kerana memiliki corak pengurusan tersusun, program senior dan remaja yang baik dan mampu menjana pendapatan sendiri.
Iklan
Justeru, chef-de-mission (CDM) ke Sukan Komanwel Gold Coast itu berpendapat sudah tiba masa untuknya menyerahkan kerusi presiden kepada individu lain.
"Oleh kerana kita ada ahli jawatankuasa yang dinamik, SRAM kukuh bukan disebabkan saya seorang.
"Jadi, selepas lapan tahun mencurahkan masa kepada SRAM, saya rasa yang terbaik buat saya adalah memberi peluang kepada jawatankuasa SRAM untuk menaikkan skuasy ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Proses pencalonan AGM SRAM akan ditutup pada 29 April ini.
Setakat ini, Timbalan Presiden SRAM, Nik Razeen Adam Daud, disebut-sebut sebagai pengganti terbaik selepas lima tahun bersama badan induk itu.
"Presiden terdahulu telah membina asas dan sekarang ia diserahkan kepada saya.
"Saya perlu membawa SRAM ke depan," kata Nik Razeen.
Sementara itu, jawatan naib presiden disandang Monteiro Gerard Clair dan K. Subramaniam.
Must-Watch Video