Skip to main content

Sukan Lain

Skuad terjun nafi ketiadaan Zhuliang punca prestasi hambar

terjun17418.jpg
Barisan atlet terjun negara menyangkal dakwaan yang mengatakan prestasi mereka dalam Sukan Komanwel Gold Coast yang berakhir kelmarin tidak begitu memberangsangkan akibat ketiadaan bekas jurulatih negara, Yang Zhuliang.

Malaysia membawa pulang satu emas dan dua gangsa dari Gold Coast, bagaimanapun di bawah kendalian Zhuliang, mereka meraih satu emas, dua perak dan satu gangsa dalam temasya Glasgow 2014.

Skuad terjun menafikan prestasi mereka menurun, sebaliknya masih mampu menyumbang pingat di sebalik masih dalam proses keserasian dengan corak diterapkan Zhang Yu Kun yang juga pembantu Zhuliang yang dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih.

"Misi kali ini saya rasa lebih mencabar dengan persekitaran luar yang lebih berangin. Tetapi saya rasa skuad terjun meningkat daripada segi mental. Banyak perubahan positif yang ditunjukkan," kata penerjun wanita negara, Pandelela Rinong Pamg.

"Saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik. Kalau mereka pandang begitu (menurun), mungkin mereka tidak tahu bagaimana kami lakukan. Bagi saya, saya sangat gembira dengan persembahan saya," kata Nur Dhabitah Sabri.

Selesai tugasan di Australia, skuad negara yang tiba di ibu negara pada awal pagi tadi, hanya akan berehat dua hari sebelum kembali berlatih bagi persiapan menghadapi Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA di Montreal, Kanada pada 27 April dan kemudian di Kazan, Russia pada 4 Mei.

"Tidak letak apa-apa sasaran dalam kejohanan itu, cuma diharapkan dapat melakukan terjunan dengan baik dan tiada kecederaan. Itu sudah dikira bagus," kata Pandelela lagi. 

Malaysia meraih emas menerusi Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama sementara Leong Mun Yee dan Dhabitah melengkapkan tempat podium acara itu.

Di samping itu, skuad negara turut menggondol gangsa 3m papan anjal seirama menerusi Mun Yee dan Dhabitah.

Advertisement

Must Watch Video