Skuad kriket kebangsaan bakal diberikan pendedahan barisan pemain dan kejurulatihan di luar negara sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017, dalam misi meraih tiga pingat emas.
Menurut Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Mahinda Vallipuram, tempoh 10 bulan menuju ke temasya dwitahunan itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh skuad kriket Malaysia.
Buat masa ini, barisan pemain negara sudah mempunyai rakan sepelatih dari luar negara, iaitu Sri Lanka dan juga Pakistan.
Namun, latihan sahaja tidak mencukupi dan mereka perlu didedahkan dengan persaingan di peringkat tertinggi.
"Kami mempunyai beberapa acara daripada latihan dan juga pendedahan serta pendedahan antarabangsa di Pakistan dan Sri Lanka. Kami telah mengatur program untuk 10 bulan.
"Pada April tahun depan, kami akan beraksi dalam kelayakan ketiga Liga Dunia dan ia juga bakal menjadi salah satu medan persediaan selain kemenangan adalah sasaran kami," kata Mahinda.
Skuad Malaysia muncul juara Kejohanan Kelayakan Piala Dunia Rantau Asia bawah 19 tahun, menewaskan Singapura, hari ini dan diharap akan beraksi dengan lebih hebat di pentas Piala Asia pada Disember ini, seterusnya layak beraksi di Piala Dunia.
"Ia satu perjalanan yang panjang, kami telah berjaya mendapatkan tempat. Kami akan menentang Afghanistan, Nepal, Singapura dalam divisyen satu yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Kami berasa sangat baik ketika ini tetapi saya berasa lebih gembira selepas kami meraih kemenangan hari ini."
Stadium Astro
Thu Oct 06 2016