SUKAN LAIN
Skuad karate Sabah guna khidmat jurulatih Mesir
Persatuan Karate Sabah (SKA) mendapatkan khidmat jurulatih dari Mesir, Mustafa Elsayed Mohamad Elsnbawy, sebagai persiapan mereka untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Perak pada September depan.
Setiausaha Agung SKA, Julian Chin, berkata Mustafa yang tiba Sabtu lalu bakal membimbing pasukan karate negeri berkenaan hanya untuk tempoh enam bulan dengan fokus utama mereka ialah bagi mengutip seberapa banyak pingat dalam Sukma nanti.
"Beliau (Mustafa) akan bekerjasama dengan jurulatih kumite sedia ada (Danny Fredolin) bagi meningkatkan kebolehan dan prestasi atlet karate kita dan saya harap dia dapat membantu kami mencapai kejayaan dalam Sukma nanti.
Iklan
"Tujuan utama kami membawa masuk jurulatih berpengalaman seperti Mustafa adalah untuk memajukan serta memantapkan lagi pasukan karate negeri ini dan ini (menggunakan khidmat Mustafa) adalah salah satu pendekatan kami," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.
Julian turut berharap atlet akan berusaha lebih keras lagi kerana pihak persatuan sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan lagi prestasi mereka.
"Selain membawa masuk jurulatih baharu, kami juga merancang untuk menghantar beberapa atlet ke kejohanan tempatan atau antarabangsa bagi memberi mereka lebih banyak pendedahan serta pengalaman," katanya.
Mustafa yang kini berusia 31 tahun memulakan kariernya dalam sukan karate sejak dari kanak-kanak lagi dan berjaya menjuarai banyak kejohanan di negara asalnya.
Selain itu, beliau yang memulakan kariernya sebagai jurulatih pada 2016 juga pernah bertanding di peringkat tertinggi sukan berkenaan termasuk Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, pada 2008 yang menyaksikannya meraih tempat ketiga.
Sebelum ini, Mustafa adalah pembantu jurulatih kepada pasukan karate kebangsaan Mesir.
Terdahulu, Julian turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, khususnya Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Terrance E. Pudin, atas sokongan dan kerjasama membawa masuk Mustafa.
Must-Watch Video