Skip to main content

Sukan Lain

Sikap tidak jujur punca hukuman berat -- Janius

ahmad-janius-abdullah.jpg
Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah, mahu atlet-atlet yang dipalit isu doping lebih telus dalam memberikan kerjasama berhubung bahan terlarang yang diambil mereka. 

Jelas Janius, kes doping yang tidak pernah putus dalam sukan angkat berat adalah disebabkan punca sebenar masalah itu masih tidak dapat dirungkai. 

Malah, ada antara atlet yang terlibat seperti Hafifi Mansor, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad serta tiga atlet pelapis, Muhammad Hakimi Haikal Nordin, Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesus tidak jujur dalam memberikan penjelasan mengenai bahan terlarang yang diambil mereka. 

"Dalam peraturan anti-doping Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), penggantungan boleh dikurangkan andai atlet yang terlibat memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses penyiasatan.

"Jika mereka enggan memberikan kerjasama, itu tidak dapat membantu mereka dalam mengurangkan hukuman," katanya.

Dalam pada itu, Janius berharap cadangan agar lembaga penyiasatan ditubuhkan bagi membendung isu doping dengan lebih tegas akan diterima dalam Mesyuarat Exco PABM yang bakal diadakan 9 Disember ini.

"Kami akan melakukan penyiasatan yang turut melibatkan agensi-agensi luar.

"Ia supaya penyiasatan yang dijalankan lebih telus dan tidak akan dipertikaikan," tambahnya.

Buat Agensi Anti-doping Malaysia (Adamas), hukuman maksimum ke atas kelima-lima atlet angkat berat yang terlibat hanyalah permulaan kepada langkah pencegahan "sifar doping" yang mahu dicapai semua pemegang taruh yang terlibat.

Daripada 13 kes yang dilaporkan pada tahun 2018, lapan daripada kes tersebut membabitkan atlet angkat berat dengan salah satunya merupakan atlet elit negara, Hafifi, yang diuji positif bagi oxymetholone.

Berdasarkan angka itu, sukan angkat berat kini menjadi tumpuan utama pihak Adamas bagi membasmi kes seperti itu berulang.

Jawatankuasa kecil juga sudah diwujudkan Adamas dengan kerjasama PABM untuk memastikan tiada bahan mencurigakan diseludup masuk ke dalam kem kebangsaan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Kami menumpukan kepada angkat berat kerana sukan itu mempunyai potensi tinggi dalam penyalahgunaan bahan terlarang.

"Kami akan meneruskan pendekatan itu bagi memastikan tiada lagi kes penggunaan bahang terlarang dalam sukan itu selepas ini," kata Penolong Pengarah Adamas, Nishel Kumar.

Advertisement

Must Watch Video