Serena Williams menggambarkan kekalahannya kepada Madison Brengle dalam ASB Classic sebagai memalukan dan berkata dia tidak pernah membuat pukulan seteruk itu dalam hidupnya.
Bekas pemain wanita no.1 dunia itu menjadi mangsa dalam pusingan kedua pada Rabu, dengan Brengle melakar kemenangan terbesar dalam kariernya apabila pemain berusia 26 tahun itu menang 6-4, 6-7 (3-7), 6-4.
Kesilapan berulang kali mengganggu rentak Willams sepanjang dua jam perlawanan berlangsung dan pemain berusia 35 tahun itu turut terjejas dengan keadaan cuaca di New Zealand.
Walaupun gagal mengawal gelanggang, namun Serena menjelaskan kegagalannya membuat pukulan menjadi punca tewas.
"Saya rasa aksi saya cukup memalukan, tiada perkataan lain yang mampu menjelaskan kekalahan ini," dia memberitahu sidang media.
"Sebanyak 88 kesilapan adalah melampau, terlalu banyak. Saya tidak akan menang dengan kesilapan sebanyak itu.
"Saya gagal membiasakan diri dengan keadaan angin, pihak lawan (Brengle) turut beraksi dalam senario sama tetapi mungkin permainannya sangat sesuai dalam keadaan ini.
"Saya berasa cukup baik dalam set kedua tetapi saya gagal mengekalkan rentak. Saya tidak pernah membuat pukulan seteruk itu dalam karier saya.
"Dia (Brengle) mempamerkan aksi lebih baik berbanding saya. Saya tidak pernah melakar 88 kesilapan dalam karier saya."