Skip to main content

Advertisement

Sukan Asia

Sepak takraw: Skuad wanita yakin beri cabaran dengan muka baru

takraw-wanita.jpg
Ketua jurulatih skuad sepak takraw wanita negara, Md Fikri Md Nor, sudah memutuskan 12 pemain yang bakal beraksi dalam Sukan Asia Indonesia bulan depan selepas berpuas hati dengan latihan selama seminggu di Haadyai, Thailand, minggu lalu. 

Seramai 12 daripada 20 pemain telah dimuktamadkan Fikri selepas membuat penilaian terakhir di negara jiran itu. 

Walaupun dianggap sebagai pertaruhan besar apabila hanya tiga daripada 12 pemain itu yang pernah beraksi dalam Sukan Asia Incheon, namun Fikri tidak gusar kerana anak buahnya sudah mempunyai pengalaman dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

Setakat ini, mereka hanya fokus kepada aspek kecergasan dalam memastikan tiada sebarang kecederaan berlaku yang boleh membawa kepada perubahan pemain pada saat-saat akhir sebelum mereka ke Dungun, Terengganu, pula pada 1 Ogos ini untuk fasa persiapan akhir. 

"Walaupun pertama kali menyertai Sukan Asia, saya yakin pengalaman dalam Sukan SEA serba-sedikit membantu pemain. 

"Pencapaian di Haadyai menampakkan peningkatan dan keserasian antara pemain tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan sebelum Sukan Asia," kata jurulatih itu. 

Skuad negara sepatutnya ke Riau, Indonesia, sebelum venue latihan diubah ke Haadyai selepas mengambil kira faktor Indonesia sebagai tuan rumah yang dikhuatiri ingin membaca rentak permainan Malaysia lebih awal menjelang saingan sebenar nanti.

"Terlalu dekat dan tidak sesuai. Saya takut kekuatan kita diintip pasukan Indonesia. Itu yang merisaukan saya dan sebab itulah kami menukar venue ke Haadyai," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video