Bekas jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, berkata bahawa dia sudah meramalkan kejatuhan kem terjun negara seperti yang sedang berlaku ketika ini.
Ini selepas tiada seorang pun penerjun senior negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, termasuk Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.
Khidmat Brooker dan Yang Zhuliang tidak lagi diperlukan usai Sukan Olimpik Tokyo pada 2021 dan langkah untuk menyingkirkan dua figura berpengaruh itu memberikan kesan mendalam, di mana hanya Bertrand Rhodict Lises menjadi penerjun tunggal layak ke temasya berkenaan.
"Salah satu sebab saya meninggalkan Malaysia adalah saya dapat melihat petanda kejatuhan (skuad terjun), di mana kita menghadapi isu dalam program. Ada permintaan untuk memajukan sukan ini tidak dipenuhi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Saya ada mendengar daripada penerjun, mereka memberikan saya mesej sewaktu saya berada di sana, saya hanya mendoakan yang terbaik buat mereka.
"Ada antara mereka yang mengadu kepada saya mengenai situasi yang dihadapi mereka.
"Banyak perkara perlu diubah. Saya pernah mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum saya pergi dan saya katakan jika anda mahu memajukan sukan ini, jika anda mahu mengekalkan saya sebagai jurulatih, ini adalah perubahan yang perlu dilakukan kerana jika tidak, sukan ini akan mati.
"Kini ia kelihatan sedang berlaku," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Feb 11 2024