Skip to main content

Hoki

Saya harap mereka balik dalam keadaan baik -- Dharma

1117dhaarma.jpg
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, gusar dengan dua pemain utamanya, Farah Ayuni Yahya dan Noor Hasliza Mohd Ali, yang hanya memiliki kurang dua minggu untuk mencari keserasian untuk beraksi dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia, bermula 12 Januari depan.

Kedua-dua pemain ini hanya akan melaporkan diri esok dan memiliki tempoh kurang dua minggu untuk mencari kembali keserasian dengan skuad negara

Tegas Dharma, walaupun kedua-dua pemain ini cukup berpengalaman, itu tidak menghalangnya daripada berasa bimbang memandangkan mereka tidak bersama skuad negara dalam tempoh lebih sebulan.

"Saya tidak lihat dua pemain ini, salah seorangnya adalah penjaga gol terbaik Asia (Farah). Saya tidak lihat kedua-duanya kira-kira sudah 40 hari. Itu membuatkan saya risau. Saya harap mereka balik dalam keadaan baik," katanya.

Dalam edisi terdahulu, aksi skuad hoki wanita negara sekadar beraksi dalam saingan pusingan kedua Liga Dunia.

Tradisi itu mahu dipecahkan Dharma dengan sasaran mencuri slot ke separuh akhir Liga Dunia selepas ini.

Namun, segala-galanya bergantung kepada prestasi anak buahnya yang bakal berhadapan dengan lawan kental seperti Itali dan Ireland.

"Kalau kita berjaya ke pusingan ketiga Liga Dunia, ia dianggap satu anjakan untuk skuad wanita. Ia dianggap satu permulaan kepada hoki wanita di Malaysia kerana membuka langkah besar," tambahnya.

Malaysia memulakan kempen kejohanan itu dengan menentang Hong Kong, 14 Januari ini.

Ia diikuti pertemuan dengan Ireland dan Kazakhstan masing-masing pada 16 dan 17 Januari.

Anda boleh saksikan kesemua perlawanan ini secara langsung menerusi saluran Astro Arena.

Advertisement

Must Watch Video