Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan aksi pembuka tirai saingan Liga Hoki Premier Malaysia 2017 dengan langkah kanan selepas mudah menewaskan skuad TNB Thunderbolt 6-1, hari ini.
Pukulan daripada Muhammad Ramadhan Rosli seawal minit ketujuh untuk gol pertama memberi momentum buat TNB memenangi perlawanan.
Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim, menganggap ia satu permulaan yang baik buat pasukan jika dibandingkan musim lalu di mana mereka gagal menundukkan UniKL dalam aksi pembukaan.
Meskipun gembira dengan keputusan yang diraih, dia tidak menganggap pemainnya sudah mempamerkan aksi sebenar kerana menyifatkan perlawanan pertama ini agak mudah untuk mereka.
"Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi daripada aspek permainan, ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.
"Tetapi kami tidak mempunyai banyak masa kecuali melihat tayangan video dan mencari kesilapan pemain sebelum berdepan UniKL pada Ahad," katanya.
Bagi jurulatih Thunderbolt, Nor Saiful Zaini, dia tetap memuji aksi barisan pemain yang rata-rata berusia 17 hingga 18 tahun apabila berdepan pemain yang lebih berpengalaman.
Terpaksa berpuas hati dengan gol tunggal daripada Mohamad Akhimullah dalam suku keempat, Saiful menyifatkan kelemahan ketara pasukannya adalah di bahagian pertahanan, sekali gus memberi ruang kepada TNB untuk meraih empat gol dalam suku ketiga perlawanan.
"Satu perkara positif daripada perlawanan ini, saya nampak mereka mampu menyaingi pasukan TNB.
"Saya tidak gembira dengan kekalahan 6-1 ini tetapi berpuas hati dengan aksi keseluruhan pemain saya," kata Saiful.