Skip to main content

Hoki

Sarjit gesa anak buahnya perbaiki pukulan sudut penalti

17117tht.jpg
Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh, berharap pasukannya segera memperbaiki kelemahan pukulan sudut penalti bagi memastikan mereka mengutip mata penuh dalam dua perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Johor, bermula esok.

"Persembahan yang bagus ditunjukkan dalam dua perlawanan awal liga, namun apa yang mengecewakan adalah kegagalan menyempurnakan pukulan sudut penalti.

"Kami dihadiahkan enam pukulan sudut penalti ketika bertemu UiTM di mana empat daripadanya tersasar dan hanya satu yang diselamatkan penjaga gol lawan.

"Ini bermakna 75 peratus peluang daripada pukulan sudut penalti gagal dimanfaatkan dan ia sangat buruk kerana pemain perlu menjaringkan gol dari situasi itu.

"Ia perlu diperkemaskan lagi kerana kami mahu mengutip mata penuh daripada dua perlawanan akan datang,” katanya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut mengesahkan mereka masih menanti kehadiran seorang pemain import dari Belanda, Valentin Verga, yang dijadualkan tiba awal bulan depan.

“Verga masih bersama skuad kebangsaan Belanda dalam program latihan di Afrika Selatan sebagai persiapan menghadapi Liga Hoki Dunia, Julai ini.

“Kem latihan itu hanya akan tamat pada 30 Januari, dan saya berharap dia akan sempat beraksi untuk THT bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 3 Februari,” tambahnya.

THT akan bertemu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, esok, sebelum membuat perhitungan dengan TNB Thunderbolt, Jumaat ini, juga di gelanggang sama.

Advertisement

Must Watch Video