Skip to main content

Sukan Lain

Sarawak anjur Suksa 2017 sebagai persiapan muncul juara Sukma 2018

23217suksa.jpg
Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak menerusi Perbadanan Sukan Sarawak akan menganjurkan kembali Sukan Sarawak (Suksa) pada penghujung tahun ini bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan.

"Ia juga sebagai persediaan untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Ipoh pada tahun 2018," kata menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika ditemui sebelum mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Penganjuran Suksa 2017 di Stadium Negeri, Kuching, petang tadi.
   
Abdul Karim berkata, pihaknya berharap kejohanan itu akan membantu melahirkan bakat-bakat yang akan membantu Sarawak menjadi "kuasa sukan" pada tahun hadapan.

"Kami mengidamkan status juara untuk Sukma 2018, justeru usaha seperti ini amat perlu."

Jelasnya, secara tentatif, tarikh kejohanan mirip Sukma yang kali terakhir dianjurkan 27 tahun lalu itu, akan diadakan pada 14 hingga 17 Disember, dengan Kuching akan menjadi tuan rumah.

"Antara acara sukan yang telah dikenal pasti termasuklah renang, angkat berat,  basikal, bola jaring, golf, karate, memanah, olahraga, pencak silat, ragbi, sepak takraw dan taekwondo.

"Sementara itu untuk kategori paralimpik yang turut dilangsungkan serentak, acara yang diadakan ialah renang, angkat berat dan olahraga."

Temasya itu akan disertai oleh empat zon, iaitu Zon Utara akan disertai Limbang, Miri dan Bintulu; Zon Tengah (Kapit, Sibu, Mukah); Zon Timur (Sarikei, Betong, Sri Aman) dan Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian).

Katanya, modus operandi penganjuran kini sedang dihalusi oleh jawatankuasa teknikal sebelum dibentangkan kepada kabinet negeri pada bulan depan.

"Kami tidak menjangkakan sebarang masalah kerana kabinet sentiasa menyokong usaha kami menjadi kuasa sukan, selain mengguna pakai pelbagai kemudahan sukan, yang sebelum ini dibangunkan dengan kos RM400 juta," jelasnya.

Advertisement

Must Watch Video