Skip to main content

Sukan Asia

Renang: Carmen baharui rekod Asia Tenggara

carmen-lim_1.jpg
Perenang para negara, Carmen Lim, yang membuat penampilan sulung dalam Sukan Komanwel Gold Coast mencapai sasaran peribadinya untuk membaharui rekod Asia Tenggara selepas mencatat masa 35.95s dalam acara 50m gaya bebas S8 wanita, hari ini. 

Dia mencipta rekod baharu itu pada peringkat saringan untuk memadamkan rekod Asia Tenggara yang juga merupakan rekod kebangsaan miliknya, 36.48s, ketika  Sukan Para Asean ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bagaimanapun, impiannya meraih kemenangan podium acara itu tidak kesampaian selepas dia sekadar merekodkan 36.85s untuk berada di kedudukan  kelima dalam aksi final di Pusat Akuatik Optus, malam ini. 

“Tiada apa dikesalkan walaupun tidak berjaya raih pingat kerana sekurang-kurangnya saya boleh capai salah satu daripada apa diimpikan. Saya gembira dengan persembahan saya dalam Sukan Komanwel walaupun agak terkilan tidak boleh mencatat masa lebih pantas berbanding di peringkat saringan.

“Saya rasa sangat bagus dan berharap boleh berenang dengan lebih pantas dalam final tapi tidak mampu. Saya kena belajar untuk berenang lebih daripada satu kali dalam sehari (saringan dan final) kerana biasanya saya berenang sekali sahaja (sehari),” katanya.

Carmen, 18, mengakui beza masa yang dilakukan dalam saringan dan final agak jauh dan ia disebabkan dia tidak dapat mengekalkan stamina pada 25m terakhir renangannya. 

“Saya rasa boleh buat lebih baik dalam final tapi tidak tahu kenapa semasa 25m terakhir, saya kurang nafas. Mungkin takut tapi saya tidak pasti.

"Dari segi stamina, masih banyak lagi kena perbaiki dan saya juga harus tahu cara mengatasinya dengan betul ketika beraksi,” katanya yang sudah melayakkan diri ke Sukan Asia 2018 di Jakarta. 

Carmen yang cacat tangan kiri sejak dilahirkan, bagaimanapun, bangga kerana berpeluang beraksi bersama perenang terbaik dunia dalam Sukan Komanwel kali ini. 

Pingat emas acara itu menjadi milik perenang tuan rumah, Lakeisha Patterson, dengan catatan 30.14s manakala perak dan gangsa diraih perenang Kanada, Morgan Bird (32.03s) dan Abigail Tripp (32.49s).

Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Welson Sim menamatkan saingan di kedudukan kelima acara 1,500m gaya bebas lelaki selepas mencatat masa 15:31.14s. 

“Secara peribadi, saya gembira kerana masa yang saya rekodkan malam ini tidak jauh dengan rekod peribadi terbaik 15:28.34s yang dilakukan bulan lepas di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan.

“Hanya  beza tiga saat, agak bagus selepas beraksi dalam empat acara Sukan Komanwel,” katanya. 

Pingat emas acara itu dimenangi Jack McLoughlin dari Australia selepas mencatat masa 14:47.09s, diikuti perenang Wales, Daniel Jervis (14:48.67s) dan seorang lagi perenang Australia, Mack Horton (14:51.05s). 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video