Skip to main content

Sukan Asia

Ragbi: Malaysia diratah Blitzboks

ragbi-7-s_5.jpg
MALAYSIA 0 AFRIKA SELATAN 43 

Ketua pasukan Afrika Selatan, Philip Snyman, memberi pujian kepada skuad ragbi 7's negara yang semakin mempamerkan peningkatan walaupun pasukannya menang 43-0 bertemu Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan A Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini. 


"Malaysia adalah pasukan yang bagus, mereka menunjukkan perubahan yang ketara sejak kali terakhir kami bertemu. Persembahan yang dipamerkan mampu mencabar tempat untuk ke Sukan Olimpik.

"Dalam masa beberapa tahun lagi, mereka pasti akan berada pada satu tahap yang lebih baik berbanding sekarang," kata Snyman.

Sememangnya dijangkakan ia satu misi mustahil buat skuad ragbi negara untuk meraih sesuatu apabila berdepan juara bertahan ragbi 7's, Afrika Selatan, yang juga dikenali sebagai 'Blitzboks'. 

Bagaimanapun, tiada apa yang harus dimalukan pasukan negara sebaik mampu membendung Afrika Selatan dengan hanya memberikan tujuh try kepada lawan. 

Empat daripadanya dalam separuh masa pertama dan tiga try lagi dalam separuh masa kedua, dengan Justin Geduld menjadi tumpuan apabila mencipta dua try.

Menurut Snyman, ada perubahan dalam corak permainan negara berikutan pasukannya berdepan sedikit kerumitan pada awal permainan sebelum try pertama hadir selepas dua minit aksi bermula. 

Sementara itu, jurulatih negara, Saizul Hafifi Mohd Noor, berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya dan berharap keputusan itu mampu memberi suntikan semangat ketika berdepan Scotland dan Papua New Guinea, lewat petang ini. 

"Pemain-pemain nampak yakin sewaktu memegang bola, cuma mereka tampak gugup pada awal persembahan. 

"Kami akan cuba mendapatkan mata selepas ini," kata Saizul.

Ketua pasukan, Zulkiflee Azmi, pula menganggap pengalaman berdepan Afrika Selatan cukup berharga untuk mereka meneruskan cabaran selepas ini. 

"Kami gembira dan teruja apabila menentang Afrika Selatan, pasukan yang pernah meraih status juara. Ia menjadi suntikan semangat untuk berdepan Scotland selepas ini," tambah Zulkiflee.
 

Advertisement

Must Watch Video