Skip to main content

Sukan Lain

Ragbi Asia: Tiada jalan mudah buat Korea Selatan

syahir.jpg
Kapten skuad ragbi negara, Syahir Asraf Rosli, memberi amaran tiada jalan mudah buat pasukan Korea Selatan menjelang pertemuan aksi pembuka tirai divisyen perdana Kejohanan Ragbi Asia di Stadium Bukit Jalil, esok.

Buat julung kalinya, Malaysia akan membuat penampilan di peringkat tertinggi di rantau Asia menerusi penyertaan ke saingan perdana dengan Korea Selatan dan Hong Kong menjadi pencabar mereka.

Lebih menarik, skuad kendalian Lee Nyuk Fah itu tidak pernah tewas sebarang aksi kompetitif sejak 2015 dalam laluan mereka ke divisyen perdana.

Mengulas mengenai kemampuan Korea Selatan, Syahir percaya lawan mempunyai kekuatan dalam aspek menyerang menerusi kepantasan pemain mereka dan ini perlu diberi perhatian oleh skuad negara.

Malaysia, bagaimanapun, kehilangan dua pemain profesional, K. Dineshwaran dan Marc Le, di atas faktor kecederaan dan isu peribadi.

"Kekuatan mereka adalah kelajuan pemain. Tetapi penyerangnya akan cepat penat.

"Ia boleh membawa masalah kepada pasukan kita dan kami perlu mengikut rentak mereka yang agresif," kata Syahir.

Satu-satunya aksi antarabangsa rasmi membabitkan kedua-dua pasukan itu adalah pada1996, dengan Korea Selatan ketika itu membelasah Malaysia 112-5 yang juga rekod kemenangan terbesar dicatat oleh mereka.

Begitupun, Syahir berpandangan saingan kali ini pastinya amat berbeza dan percaya tiada yang mustahil buat skuad negara untuk menyekat lawan daripada memperoleh kemenangan.

"Saya rasa gementar disebabkan perlawanan pertama kami bertemu Korea Selatan. Mereka sudah berpengalaman di peringkat ini. 

"Sudah tentu tahap mereka lebih tinggi daripada Malaysia, itu perlu saya perlu akui. Kami semua tidak sabar untuk menghadapi perlawanan esok," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video