Skip to main content

Sukan Lain

Ragbi Asia: Korea Selatan sukar duga kekuatan Malaysia

woon.jpg
Korea Selatan mahu mengelak status sebagai pasukan pilihan menjelang pertemuan menentang Malaysia dalam aksi pembukaan divisyen perdana Kejohanan Ragbi Asia di Stadium Bukit Jalil, esok.

Pengurus pasukan Korea Selatan, Woo Jin, berkata Malaysia tetap mempunyai kekuatan tersendiri walaupun ini kali pertama mereka bertemu di peringkat tertinggi di rantau Asia.

Menurutnya, kelebihan selaku tuan rumah pastinya akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Malaysia.

"Pasukan Malaysia sangat kuat dan saya tahu mereka sudah membuat persediaan rapi untuk pertandingan ini.

"Kami tidak tahu kemampuan sebenar mereka kerana ini adalah pertemuan pertama kami. Kami akan memberikan yang terbaik dan sudah tentu kita dapat menyaksikan perlawanan menarik esok," katanya.

Dalam pada itu, Woo Jin tetap berasakan skuad 23 pemain yang dibawanya adalah antara yang terbaik pernah dibentuk meskipun hanya menjalani persiapan selama dua minggu sebelum kejohanan ini.

Katanya, sebahagian daripada pasukan itu beraksi dalam Kejohanan 7's di Hong Kong awal bulan ini dengan diketuai pertahanan, Lee Jae Bok, selain dibarisi flanker, Kim Hyun Soo, dan Lee Yong Seung yang beraksi di posisi nombor lapan.

"Kami membuat persediaan dua minggu lalu tetapi kami akan melakukan yang terbaik esok. Kami yakin dan bersedia untuk menghadapi perlawanan ini," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video