Pengkhususan daripada dana yang diperuntukkan itu terhadap sukan yang mempunyai potensi tinggi untuk membutirkan pingat buat kontinjen negara seperti berbasikal trek mahupun badminton.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut tidak menolak kemungkinan, sebilangan besar atlet yang diberhentikan daripada Program Podium akan dinilai semula.
"Kita mendengar keluhan daripada atlet yang ditamatkan kontrak. Kita mendengar harapan daripada pencinta sukan tanahair. Kita mendengar keluhan daripada kepimpinan persatuan sukan dan saya bawakan suara mereka ini ke mesyuarat jemaah menteri.
"Alhamdulillah, jemaah menteri mendengar dan meluluskan perkara ini. InsyaAllah, kita akan kaji semula semua kontrak yang ditamatkan akibat ketiadaan peruntukan sebelum ini," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara gelembung sukan -- malah akan dianjurkan secara berfasa termasuk penganjuran Para Sukma.
Inisiatif KBS untuk meletakkan keutamaan terhadap temasya ini untuk meneruskan kesinambungan bakat pelapis muda yang akan diketengahkan pada masa hadapan.
"Ini memandangkan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA 2022 perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten supaya negara tidak ketandusan atlet yang bakal menggantikan atlet di peringkat kebangsaan pada masa depan.
"KBS sedar sekiranya SUKMA tidak dilaksanakan pada 2022, ini bermakna tiada kesinambungan program dalam tempoh empat tahun dari tarikh SUKMA terakhir pada 2018," katanya yang memaklumkan SUKMA dan Para SUKMA 2022 akan dianjurkan dengan model gelembung sukan.
Advertisement
"Ini bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet, pegawai serta semua yang terbabit sentiasa terjaga. Dianggarkan lebih kurang 12,000 orang akan terbabit dalam temasya kali ini.
"Penganjuran dibuat secara berfasa iaitu dua fasa untuk SUKMA dan Para SUKMA dilaksanakan secara berasingan bagi memastikan bilangan atlet serta pegawai terbabit pada sesuatu masa itu tidak terlalu ramai.
"Ini bagi membolehkan penyertaan kontinjen dikawal menggunakan model gelembung sukan serta pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara."