Skip to main content

Sukan Asia

Program Podium gagal capai objektif

hoki_1.jpg
"Gagal."

Itu kesimpulan paling tepat untuk menggambarkan keberkesanan Program Podium yang menjadi tunjang utama atlet elit negara dalam saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang ditutup secara rasmi malam ini.


Ia jelas menunjukkan program yang melewati usia dua tahun itu gagal berada di landasan terbaik dalam pemburuan emas pertama Sukan Olimpik 2020.

Dengan dana RM145 juta sejak 2016, prestasi semasa yang boleh diberikan pujian hanyalah atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang.

Begitu mahal harga yang perlu dibayar dalam usaha mencari juara Sukan Olimpik atas nama Malaysia, selepas tugasan mengurus prestasi atlet bertukar tangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kepada Institut Sukan Negara (ISN).

"Kami gagal menepati sasaran untuk mengakhiri saingan dalam kelompok 10 negara terbaik kerana kami telah meraih tujuh pingat emas.

"Seperti hoki, kami telah mara ke final tetapi tuah tidak memihak kepada skuad negara," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dalam sidang akhbar bersama merumuskan prestasi kontinjen negara di Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini.

Bagaimanapun, kegagalan yang disuarakan Shapawi cepat disangkal Timbalan Chef-de-Mission (CDM), Dr P. Vellapandian, yang juga merupakan Ketua Program Podium.

Tegas Vellapandian, Program Podium masih di landasan yang tepat dan memerlukan tempoh masa penuh, iaitu satu setengah tahun sahaja lagi untuk dilihat hasilnya.

"Ada kekurangan di sebelah kami yang perlu diperbaiki untuk memastikan program ini mencapai matlamat. Sepatutnya akan ada kajian yang akan dijalankan pada Jun 2018 tetapi kami tangguh untuk memberi laluan kepada Sukan Asia.

“Kalau kita hendak lihat keberkesanan program ini, kita perlu tunggu sehingga 2020, namun kami di Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa memantau prestasi program latihan atlet dan saya akui ada kelemahan di pihak ISN yang perlu kita tambah baik untuk memastikan program ini mencapai matlamatnya," katanya..

​Sementara itu, CDM Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, senada dengan Shapawi mengenai kegagalan Program Podium dalam Sukan Asia kali.

Bagaimanapun, jelasnya, ia tidak bermaksud Program Podium harus dihentikan segera, sebaiknya ia perlu melewati beberapa perubahan kecil bagi membetulkan lompong yang dapat dihidu ketika ini.

"Jika ia dimansuhkan, sasaran untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik turut tidak perlu dicapai. Sasaran berada dalam kelompok 10 negara terbaik adalah untuk saingan Sukan Komanwel dan Sukan Asia -- ia adalah salah satu kriteria setiap kali kontinjen negara bersaing dalam temasya.

“Walaupun kami gagal mencapai sasaran untuk menduduki kelompok 10 negara terbaik pada kali ini, namun beberapa atlet berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik di Asia.

“Sasaran utama program ini adalah untuk atlet kita meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, jadi peruntukan sudah ada dan kita sudah nampak prestasi yang boleh ditingkatkan dengan adanya bantuan sains sukan," kata Azim.

Advertisement

Must Watch Video