Skip to main content

Sukan Lain

Presiden MOM: Norza tidak dicabar

norza_4.jpg
Datuk Seri Norza Zakaria menang tanpa bertanding jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila tidak dicabar dalam majlis pencalonan Ahli Lembaga Eksekutif MOM penggal 2018-2021 di ibu negara, hari ini.

"Untuk jawatan presiden, empat persatuan mencalonkan Datuk Seri Norza Zakaria sebagai presiden MOM.

"Tiada sebarang calon lain yang dicadangkan, jadi beliau menang tanpa bertanding," kata Pengerusi Panel Pemilihan MOM, Datuk Seri Jahabardeen Mohd Yunoos.

Selain itu, untuk jawatan timbalan presiden MOM, tiga persatuan telah mencalonkan Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin manakala tiga lagi persatuan lain mencalonkan Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi. 

Bagi jawatan setiausaha kehormat pula, terdapat dua nama yang bertanding, di mana Datuk Low Beng Choo meraih empat pencalonan manakala Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib meraih dua pencalonan.

"Saya rasa berdasarkan borang pencalonan yang telah diterima, segalanya tampak sempurna. Setiap borang itu mengikut prosedur dan tiada sebarang unsur-unsur yang boleh menggagalkan pencalonan itu," kata Jahabardeen lagi.

Dalam pada itu, Norza menganggap pencalonannya untuk menerajui badan itu sebagai satu tanggungjawab besar.

"Pertama sekali, saya bersyukur telah diberi mandat oleh ahli-ahli badan gabungan untuk memimpin MOM.

"Saya berasa bahawa ini adalah satu tanggungjawab yang sangat besar. Saya juga gembira kerana ia merupakan pengiktirafan kepada kerja-kerja saya dalam bidang sukan sebelum ini.

"Saya sedar akan tanggungjawab yang dipegang apabila menggantikan seorang pemimpin yang besar, bukan sahaja di negara ini tetapi di peringkat antarabangsa, iaitu Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

"Bersama pasukan baru, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa sukan negara ke peringkat lebih tinggi," kata Norza.

Keputusan pertandingan itu akan ditentukan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 5 Mei ini.


Calon presiden: 

• Datuk Seri Norza Zakaria (menang tanpa bertanding) 

Calon timbalan presiden:

• Datuk Seri Abdul Azim Zabidi
• Datuk Megat Zulkarnain Omardin

Calon naib presiden:

• Prof Datuk Zakaria Ahmad (penyandang)
• Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (penyandang)
• Datuk Ong Poh Eng (penyandang)
• Datuk Nur Azmi Ahmad
• Mahinda Valipuram
• Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim
• Datuk S. Shamala
• Datuk Mohamad Taufik Omar
• Nik Azzeen Adam Daud

Calon setiausaha agung:

• Datuk Low Beng Choo (penyandang)
• Datuk Mohd Nazifuddin Najib 

Advertisement

Must Watch Video