E-SUKAN
PMSL SEA: Perubahan taktikal saat akhir wakil Vietnam hukum CDAL
Harapan tinggi yang diletakkan kepada dua wakil negara di Grand Final PUBG Mobile Super League SEA tidak kesampaian apabila Celcom Digi Alliance (CDAL) dan Sem9 hanya mampu menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.
Keputusan ini sekali gus bermakna kemarau kejuaraan pasukan Malaysia di pentas Asia Tenggara berlarutan memasuki tahun kedua.
Pada hari terakhir kejohanan yang menjadi penentu juara, CDAL mengakhiri cabaran di tangga ketiga dengan 153 mata, manakala SEM9 berada di kedudukan kelima dengan 129 mata.
Iklan
Namun, kejutan taktikal saat akhir daripada pasukan handalan Vietnam, Dingoz Xavier, membuahkan hasil apabila mereka berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan.
Dalam enam pusingan terakhir, CDAL bergelut untuk menembusi dominasi pasukan elit yang menguasai permainan, terutama selepas skuad kendalian Mosgoku berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan meta terbaru dalam kejohanan ini.
"Saya amat berpuas hati dengan pencapaian pasukan. Sepanjang tempoh kali ini, latihan kami sangat 'hardcore' —boleh dikatakan pemain sendiri tidak cukup rehat, dan kami juga tidak ada masa untuk menikmati apa-apa kecuali satu sesi team building di Pulau Pinang.
"Selain itu, semuanya hanya latihan demi latihan. Untuk perlawanan terakhir, kami tahu sejak awal bahawa kedudukan 1 hingga 4 masih boleh dicapai. Jadi, tiada tekanan langsung kepada pemain kerana kami tidak perlu mempertahankan mata, sebaliknya mengejar mata.
"Malah, tahap keyakinan pemain melebihi 100%. Kami sebenarnya mempunyai dua strategi dan memilih salah satu daripadanya. Kami berjaya melaksanakan tugas yang dirancang, tetapi rezeki tidak berpihak kepada kami pada saat akhir.
"Namun, kami tetap bersyukur kerana ini adalah yang terbaik yang telah ditentukan untuk kami," kata Mosleh Subairi, ketua jurulatih PUBG mobile Celcom Digi.
Must-Watch Video