HOKI
Piala TNB: UniKL puas lunas janji
Pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bukan sahaja boleh berbangga menjulang Piala TNB 2018, malah turut memecah dominasi pasukan gergasi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Terengganu Hockey Team (THT), dalam laluan bergelar juara.
Ia bukan sahaja pentas final pertama mereka sepanjang sembilan tahun, namun turut mencipta sejarah memenanginya buat julung kali.
"Piala ini, seperti kami janji dengan presiden, ia akan diletakkan di stadium baru. Sekurang-kurangnya misi ini sudah dicapai.
Iklan
"Sebagai pasukan, kami melunaskan janji dan komitmen kami," kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.
Dalam aksi final semalam, UniKL ditentang hebat oleh naib juara musim lalu, KLHC, sehingga terikat 1-1 dalam masa sebenar, dengan gol masing-masing dijaringkan Glen Stewart Turner untuk UniKL dan Jang Jong Hyun buat KLHC.
Perlawanan kemudian diheret ke penentuan penalti dan debaran itu akhirnya terlerai apabila Jeroen Hertzberger menewaskan Roslan Jamaluddin untuk mengesahkan kejuaraan sulung UniKL dalam saingan tempatan.
"Saya berasa agak kecewa kerana terlepas percubaan pertama tetapi saya sangat gembira kerana mendapat peluang lain.
"Ia adalah hari yang hebat untuk UniKL.
"Saya fikir, berdasarkan kepada corak permainan kami, kami layak untuk menang," kata Herzberger.
Lebih manis, mereka juga berjaya menyekat penguasaan THT untuk muncul juara Piala TNB empat kali berturut-turut sejak 2014.
Kekalahan itu juga menyaksikan KLHC berputih mata untuk mendakap piala ketiga mereka musim ini selepas meraih Piala Sumbangsih dan Piala Tan Sri P. Alagendra.
"Apabila kalah dalam perlawanan besar sebegini, memang saya rasa kecewa termasuk pemain-pemain.
"Tetapi, mereka sudah memberikan apa yang mereka mampu dengan 100 peratus," kata jurulatih KLHC, Lim Chow Chuan.
Must-Watch Video