Skip to main content

Sukan Lain

Piala TNB: THT gagal atasi TNB

tht10218.jpg
TNB 4 THT 3

Selepas gagal melayakkan diri ke pentas final hoki Piala TNB, pasukan pilihan, Terengganu Hockey Team (THT), terus berputih mata apabila gagal dalam perlawanan tempat ketiga-keempat apabila tewas 4-3 kepada TNB, hari ini.


Di atas kertas, THT diletakkan selaku pasukan pilihan selepas meraih gelaran juara liga, namun status itu tidak memberikan jaminan bahawa perlawanan ini milik mereka.

Buktinya, anak buah Nor Saiful Zaini hanya memerlukan tujuh minit untuk mendahului perlawanan hasil jaringan Shello Silverius.

Seminit kemudian, TNB terus mempamerkan aksi garang apabila meledak gol kedua selepas Akhimullah Anuar menyambut kemas tolakan Amirul Aidid.

Pada penghujung suku kedua, THT akhirnya berjaya memperoleh jaringan pertama selepas Joacim Menini memanfaatkan keadaan kelam-kabut di depan pintu gol TNB.

TNB makin selesa pada suku ketiga apabila berjaya menambah gol, sekali lagi melalui Akhimullah, sebelum Azrai Aizad menambah gol keempat melalui pukulan sudut penalti.

Walaupun ketinggalan, THT enggan mengibarkan bendera putih, sebaliknya skuad kendalian Sarjit Singh itu memberikan tekanan hingga berjaya menghasilkan dua gol -- Gonzalo Peillat menyempurnakan pukulan sudut penalti dan jaringan Menini menjadikan kedudukan 4-3.

Kebangkitan THT, bagaimanapun, sudah terlambat untuk keputusan kekal memihak TNB.

Advertisement

Must Watch Video