Skip to main content

Sukan Lain

Piala TNB: Satu gol tidak cukup, kata Saiful

tnb050218.jpg
"Kelebihan satu gol belum memadai buat kami," itu pandangan jurulatih pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin, selepas pasukannya mencatat kemenangan
tipis 3-2 ke atas Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala TNB 2018, semalam.


Kejayaan UniKL melakar kemenangan besar 4-1 ke atas Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi pada sebelah sebelah petang bagaikan memberikan satu semangat buat TNB menghadapi KLHC
yang juga merupakan antara pasukan pilihan.

Apatah lagi lawan mereka itu mempunyai beberapa tonggak import berbanding TNB yang bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan.

Permainan kemas oleh TNB menyaksikan Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Muhammad Akhimullah Anuar Esook memperoleh jaringan.

Hanya sedikit kealpaan pada penghujung saingan menyaksikan TNB terpaksa berpuas hati dengan kelebihan satu jaringan untuk dibawa ke aksi timbal balik, Rabu ini.

"Saya telah menasihatkan pemain-pemain bahawa TNB perlu mempamerkan persembahan terbaik jika mahu mencipta kemenangan," kata Nor Saiful.

"Kelebihan satu gol ke atas KLHC tidak mencukupi kerana mereka memiliki pemain yang berkualiti. Tetapi saya mahu memberikan pujian kepada pemain-pemain kerana berjaya menutup ruang untuk mereka menjaringkan gol."

Sementara itu, KLHC tetap mengintai peluang untuk mengatasi defisit jaringan yang dimiliki TNB dalam aksi separuh akhir kedua nanti.

Pengendalinya, Lim Chiow Chuan, menjelaskan pasukannya bermain di bawah tahap sebenar semalam dan perkara ini dapat diatasi dengan memanfaatkan tempoh dua hari latihan.

Lantaran itu, KLHC perlu memperbaiki beberapa aspek, khususnya ketika bertahan, andai ingin mengelak kesilapan sama berulang.

"Kami perlu mengejar defisit jaringan. KLHC perlu kembali tampil dalam prestasi terbaik untuk meraih kemenangan," kata Chiow Chuan.

Advertisement

Must Watch Video