Skip to main content

Sepak Takraw

Piala Emas Khir Johari: Perak antara lawan sukar dalam suku akhir -- Azhar

26117azharsarbini.jpg
Kuala Lumpur menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari selaku juara Kumpulan D selepas menundukkan Sabah di Stadium Tertutup Serdang Jaya, semalam.

Mereka mengorak langkah kanan apabila regu pertamanya yang dibarisi Sulaiman Salleh, Norhafizi Abdul Razak serta Amirul Zazwan mudah menumbangkan regu Sabah, 21-15, 21-9.

Namun, regu Kuala Lumpur seterusnya tewas mengejut, 14-21, 14-21, sebelum kembali menyempurnakan kejayaan menerusi regu ketiga dengan kemenangan 21-9, 21-8.

"Kami melihat saingan suku akhir nanti akan melibatkan banyak pasukan yang mantap. Berdasarkan prestasi sekarang, Perak adalah antara pasukan yang menonjol musim ini," kata jurulatih Kuala Lumpur, Azhar Sarbini.

Satu lagi perlawanan menyaksikan pertemuan sengit di antara Perak dan Kedah. Namun, Perak lebih unggul selepas regu pertamanya meraih kemenangan, 21-17, 17-21, 21-17.

Regu kedua Perak mudah menewaskan lawan 21-15, 21-15, dan regu ketiga mendominasi cabaran, 21-13, 22-20, untuk turut mengiringi Kuala Lumpur layak ke suku akhir.

"Alhamdullillah, kami menjangkakan perlawanan sengit pada hari ini menentang Kedah tetapi pemain-pemain berjaya menyerap tekanan dan mampu beraksi dengan baik. Akhirnya kami mendapat kemenangan 3-0," kata jurulatih Perak, Ku Jaisman Ku Ismail. 

Advertisement

Must Watch Video