Isu pertindihan tarikh acara hoki di antara Liga Hoki Malaysia dan kempen Piala Dunia Hoki Dalam Dewan menjadi dilema buat ketua jurulatihnya, Rodhanizam Mat Radzi, dalam memberi perlepasan kepada pemain-pemainnya.
Begitupun, seramai 18 pemain yang dipanggil kini masih berada dalam kem latihan dan menjalani latihan berprogram sehingga diberi lampu hijau untuk bersama kelab mereka.
Menurut Rodhanizam, dia hanya akan melepaskan beberapa pemain utamanya untuk menjalani latihan bersama kelab dua minggu sebelum berlepas ke Austria untuk edisi jelajah Eropah dengan beberapa perlawanan persahabatan sebelum menjejaki bumi Croatia.
Namun, kelonggaran itu mencetukan kebimbangan susulan risiko kecederaan pemain memandangkan tahap intensiti latihan dan cara permainan hoki padang berbanding hoki dalam dewan adalah berbeza.
"Memang sebelum ini pada mulanya kami sudah berbincang untuk tidak melepaskan kerana risiko kecederaan, sebelum ini kita ada lepaskan pemain tetapi mengalami kecederaan dan itu yang kita tidak mahu.
"Ini susulan pemain kami tidak ramai jadi jika pemain utama mengalami kecederaan jadi ia akan memberikan masalah kepada kami juga.
"Kita terpaksa melepaskan dengan tekanan diberikan kepada pemain yang semestinya tersepit antara majikan dan kelab. Kita belum lepaskan lagi kerana keputusan belum dimuktamadkan lagi oleh presiden.
"Jika dapat persetujuan, kita akan lepaskan tetapi hanya petang sahaja untuk berlatih dengan pasukan masing-masing tetapi pagi perku berlatih dengan kita.
"Kita perlu jaga kecergasan dan perlawanan pemain kerana hoki tertutup dan terbuka berbeza, perlu jaga aspek itu." katanya hari ini.
Untuk rekod, skuad hoki lelaki negara diundi dalam Kumpulan B saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 yang akan berlangsung di Porec, Crotia pada 3 hingga 9 Febuari tahun depan.
Saufi Tahir
Wed Nov 27 2024