Skip to main content

Sukan Lain

Petanque: Skuad negara akui Thailand pencabar hebat

24717safiazrol.jpg
Sekalipun memberi fokus kepada acara perseorangan dan beregu lelaki, ketua jurulatih skuad petanque negara, Zani Lisa Mohamed, menyimpan impian mahu melihat pasukan triple lelaki mencipta kejutan dalam Sukan SEA, bulan depan. 

Kuasa besar sukan petanque di rantau ini, Thailand, bakal membariskan tiga atlet terbaik mereka dalam kategori triple lelaki berbanding acara perseorangan dan beregu.

Situasi itu pasti menjadikan misi memburu emas bagi kategori terbabit sukar tetapi Zani menjelaskan pemainnya tidak gentar dengan reputasi hebat negara itu.

Cabaran triple lelaki negara bakal dipikul Mohammad Hakim Ahmad Saberi, Mohd Syurki Kamaruddin, Mohd Safi Azrol Othman dan Azfar Hariz selaku pemain simpanan.

"Tiga daripada empat pemain terbaik Thailand akan bermain dalam acara triple. Kami tahu mereka sangat kuat.

"Ada kelebihan juga untuk kami sebenarnya dalam acara perseorangan dan beregu kerana Thailand menghantar pemain baru dalam Sukan SEA.

"Di situ, mungkin kami dapat mengambil kelebihan sebagai tuan rumah," kata Zani.

Sementara itu, Safi, salah seorang muka baru yang bakal beraksi dalam Sukan SEA, tidak bimbang aspek pengalaman yang tidak memihak mereka.

Setelah lima bulan membentuk gandingan bersama, dia melihat keserasian antara satu sama lain semakin baik.

"Kami sudah bersedia untuk menghadapi Sukan SEA. Walaupun Thailand adalah pencabar yang kuat, kami bermain di tanah air sendiri, insya-Allah kami boleh buat yang terbaik," kata Safi. 

Advertisement

Must Watch Video