KL2017
Petanque: Penantian 10 tahun Saiful berakhir
Atlet petanque negara, Saiful Bahri Musmin, menyifatkan penantiannya selama 10 tahun berbaloi apabila meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur 2017 selepas melakukan percubaan sejak 2007 di Korat, Thailand.
Temasya KL2017 merupakan penampilan kelima Saiful dalam Sukan SEA, tidak termasuk Palembang 2011 kerana dia tidak mewakili negara ketika itu.
Namun, penat-lelah serta pengorbanannya dalam tempoh itu cukup untuk menjadikan emas pertama dirangkulnya dalam temasya dwitahunan ini satu kenangan indah, apatah lagi dia bergandingan dengan Syed Ahmad Fikri Syed Ali dalam acara beregu untuk menundukkan pasangan Thailand, Piyabut Chamcoi dan Sunchai Chueanchuea, 13-0 dalam perlawanan akhir, hari ini.
Iklan
Saiful dan Syed Ahmad Fikri ternyata tenang dan mengikuti segala strategi diterapkan oleh jurulatih, Zani Lisa Mohamed, untuk terus mengutip mata demi mata dan tidak memberikan sebarang peluang buat lawan.
"Sejak 2007, saya telah beraksi dalam beberapa acara, akhirnya emas berjaya dihasilkan," kata Saiful.
"Kejayaan emas ini adalah untuk keluarga saya, ini merupakan kali pertama mereka menyaksikan saya beraksi."
Emas yang dikutip dalam acara beregu lelaki juga bererti skuad petanque negara menepati sasaran dua emas yang dicanangkan sebelum ini oleh Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), dengan emas pertama hadir menerusi Mohd Hafizzudin Mat Daud dalam acara perseorangan lelaki.
"Kami mengikut setiap perancangan yang telah diberikan oleh jurulatih. Kami mengelak daripada melakukan kesilapan dan ia menjadi faktor kejayaan kami," ujar Syed Ahmad.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Must-Watch Video