SUKAN LAIN
Persatuan muaythai digesa bersatu
Kerajaan Negeri Perak mengajak semua persatuan sukan muaythai di negeri itu untuk duduk semeja bagi mencari titik penyelesaian.
Pengerusi Jawatankuasa Sukan Belia dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata setakat ini hanya terdapat satu persatuan diiktiraf serta sebuah lagi persatuan yang tidak diiktiraf serta beberapa kelab.
Sehubungan itu, pihaknya bersedia menjadi pemudahcara dalam menyelesaikan kemelut yang melanda sukan itu.
Iklan
Katanya sukan muaythai berpecah gara-gara gejala sikap berpuak-puak.
"Perak mempunyai potensi besar dalam sukan ini dan akan kerugian jika keadaan ini tidak diperbetulkan, tambahan pula muaythai akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 nanti.
"Kikislah sikap berpuak-puak itu," katanya.
Beliau juga menafikan kerajaan negeri tidak mempedulikan sukan muaythai seperti dakwaan sesetengah pihak.
"Dakwaan itu tidak betul. Kerajaan Negeri, khususnya pejabat saya, sentiasa memberi perhatian kepada semua sukan, termasuk muaythai," katanya kepada pemberita hari ini.
Howard membuat penjelasan itu berikutan dakwaan bahawa kerajaan negeri mengamalkan diskriminasi terhadap sukan kombat itu.
"Sukan muaythai antara sukan yang diberi perhatian secara konsisten oleh kerajaan negeri seperti kemudahan gelanggang latihan dan pertandingan, latihan di luar negara serta kebajikan jurulatih dan atlet," katanya.
Begitupun, beliau mengakui bahawa kerajaan negeri perlu mengambil kira pengiktirafan dan kesahihan sesuatu pertubuhan itu dengan persatuan badan induk.
Beliau memberi contoh Persatuan Muaythai Perak (PMTP) yang bergabung dengan badan induk sukan itu, Persatuan Muaythai Malaysia, diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
"Persatuan ini boleh menyertai kejohanan anjuran Persatuan Antarabangsa Muaythai Amatur (IFMA) seperti Sukan SEA dan banyak lagi," katanya.
Sebaliknya, sebuah lagi persatuan, iaitu Persatuan Muay Perak (PMP) tidak diiktiraf oleh MOM dan MSN.
Must-Watch Video