BOLING
Persatuan, MSN perlu muktamad insentif buat Tun Hakim
Atlet tenpin boling negara, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam, mencipta sejarah baharu apabila menjadi pemain Malaysia pertama menjuarai kejohanan Jelajah Persatuan Pemain-Pemain Boling Profesional (PBA).
Dia menewaskan wakil tuan rumah, Kevin McCune, dengan catatan 269 berbalas 227 dalam perlawanan akhir stepladder bagi kategori PBA Chameleon Championship.
Kejayaan sensasi Tun Hakim ini mendapat reaksi positif daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang teruja melihat sukan boling terus mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Iklan
Namun, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa tiada ganjaran kewangan akan diberikan kepada Tun Hakim kerana kejohanan ini tidak berada di bawah tajaan kerajaan.
"Sebelum mereka berangkat, saya telah bertemu dengan pasukan boling dan seperti yang diketahui, banyak kejohanan bertaraf temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia ditaja oleh kerajaan.
"Namun, dalam kes Tun Hakim, mereka bertanding secara persendirian dengan tajaan sendiri.
"Oleh itu, tiada peruntukan kerajaan untuk kejohanan ini.
"Saya sebagai pihak kerajaan tetap mengucapkan tahniah kepada Tun Hakim atas kejayaan membanggakan ini dan berharap dia serta atlet lain terus berusaha mengharumkan nama Malaysia.
"Isu ganjaran ini telah dibincangkan, tetapi seperti yang dinyatakan, segala insentif perlu dimuktamadkan oleh persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kelangsungan perbelanjaan yang teratur," kata Hannah Yeoh.
Kejayaan ini menambah lagi koleksi pencapaian gemilang Tun Hakim.
Sebelum ini, Tun Hakim bersama Rafiq Ismail, Timmy Tan, dan Ahmad Muaz Fishol berjaya menjuarai Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong dalam acara berpasukan awal tahun ini.
Tun Hakim juga bukan nama baharu dalam arena boling dunia, malah dia pernah merangkul kejuaraan acara berpasangan dalam Kejohanan Dunia 2018 bersama Adrian Ang, sekali gus membuktikan kehebatannya di peringkat antarabangsa.
Must-Watch Video