Skip to main content

Gusti

Perjalanan Joe-Roman ke Summerslam terkandas

strowman_2.jpg
Dua bintang utama Raw, Samoa Joe dan Roman Reigns begitu optimis untuk ke acara Summerslam pada 21 Ogos depan bagi merebut Kejuaraan Universal daripada Brock Lesnar.

Justeru, kedua mereka telah dipertemukan di acara kemuncak Raw semalam bagi penentuan hak pencabar utama bagi mengikat janji temu dengan Lesnar bulan hadapan.

Mengikut dua rekod pertemuan sebelum ini, Joe dilihat mempunyai kelebihan kerana dapat menumbangkan Roman dalam kedua-dua perlawanan. Namun Roman yang masih mendabik dada kerana dapat menewaskan Undertaker pada Wrestlemania lalu juga enggan memandang ke belakang dan mendakwa hanya dirinya seorang yang layak untuk menewaskan Lesnar.

Pertembungan dua bintang berdarah keturunan Samoa ini ternyata tidak mengecewakan. Joe yang berbadan gempal dengan berat 280 paun bukan seorang pemuda gendut yang tipikal. Gerakan-gerakannya yang laju beberapa kali berjaya memperdayakan Roman dan bekas Juara Heavyweight Dunia WWE itu beberapa kali terperangkap dalam gerakan kunci yang agak sukar untuk dilepaskan.



Satu tumbukan layang Superman berjaya dilancarkan Roman. Merasakan ia adalah sebuah pukulan maut yang mampu menidurkannya, Joe dengan bijak mengeluarkan diri daripada gelanggang agar kiraan pin tidak dapat dilakukan. Setelah beberapa ketika, Joe pula berusaha untuk mengenakan gerakan bantingan berpaut urinagi kepada Roman, namun satu lagi tumbukan padu hinggap di mukanya.

Belum sempat Roman menyudahkan kiraan pin, tiba-tiba bergema auman kuat daripada lagu tema Braun Strowman, individu yang telah dicederakan Roman di acara Great Balls Of Fire minggu lalu. Jelas terpancar kesumat di wajah Strowman dan dengan pantas, Raksasa Di Kalangan Manusia itu menarik kaki Joe keluar daripada gelanggang.

Agak pelik kerana pengadil enggan membunyikan loceng perlawanan tanda pembatalan DQ dan membiarkan sahaja Strowman mengganggu kelancaran perlawanan. Tanpa membuang masa, Strowman terus menyerang Roman dengan menghadiahkan beberapa tumbukan sehingga menyebabkan Roman tercampak ke luar gelanggang.

Sebaik berpijak di lantai bawah gelanggang, Joe merenung Strowman dengan penuh amarah kerana mengganggu peluangnya untuk menewaskan Roman. Kedua bintang perkasa ini lantas bergelut sehingga memaksa Roman dan Joe ‘memeterai memorandum persefahaman’ untuk seketika bagi mendepani Strowman.

Kunci Coquina oleh Joe disusuli dengan tumbukan Superman oleh Roman ke atas Strowman membuatkan ketiga individu ini terbaring di lantai gelanggang. Strowman membuktikan yang dirinya bukan biasa-biasa apabila menjadi yang pertama bangkit dan memberikan gerakan bantingan berimpak tinggi (powerslam) ke atas Joe dan Roman.



Mengulas tentang apa yang berlaku, Pengurus Am Raw Kurt Angle ketika ditemubual pasca siaran berkata yang status pencabar utama Kejuaraan Universal di Summerslam akan ditentukan minggu hadapan. Tidak mustahil, Strowman, Joe dan Roman akan terlibat dalam perlawanan tiga penjuru untuk penentuan pemenang mutlak.

Atau Angle boleh saja menjadi pemudahcara dengan meletakkan ketiga-tiga mereka sekaligus dalam perlawanan di Summerslam nanti, menjadikan perebutan Kejuaraan Universal itu menjadi pertembungan empat penjuru antara Lesnar, Roman, Strowman dan Joe.

Bercakap tentang Kurt Angle, satu lagi kejutan berlaku apabila bekas Juara WWE sebanyak 5 kali membuat pendedahan yang Jason Jordan, bekas Juara Regu Smackdown adalah anak kandungnya yang dicari-cari selama ini.



Menurut Kurt, Jason lahir hasil hubungannya di zaman muda dahulu dan hasil penyiasatan yang dilakukan selama ini, ternyata anak lelakinya yang bertahun-tahun dijaga orang lain selama ini adalah bintang WWE yang semakin meningkat naik dan mempunyai potensi cerah dalam industri ini.

Mungkin benar yang cerita Angle-Jordan ini adalah sekadar sebuah jalan cerita kayfabe di TV sahaja. Kerana agak pelik untuk seorang jejaka berkulit hitam (walaupun cerah sedikit) menjadi anak kandung kepada Kurt, membayangkan yang bekas pemenang pingat emas olimpik 1996 itu pernah menjalin hubungan dengan seorang wanita Afrika-Amerika.

Ia ibarat kisah bagaimana Hornswoggle yang didedahkan sebagai anak tidak sah taraf kepada Vince McMahon pada tahun 2007 dulu yang kekal terpahat dan menggeletek hati peminat sehingga ke hari ini.

Chad Gable, yang merupakan pasangan regu Jordan di Smackdown tidak terlepas terkesima dengan pengumuman tersebut. Melalui catatan di Twitter, beliau menulis:
 
Manakala Pengurus Am Smackdown membalas catatan Gable tersebut dengan berjenaka:
 
Penglibatan Jordan dalam cerita Angle ini secara otomatik menandakan berakhirnya karier regu The American Alpha. Jordan menurut Kurt, kini adalah bintang rasmi jenama Raw dan Gable akan terus bergerak solo di Smackdown Live.

Menariknya, perkembangan terkini ini sudah tentu akan membawa manfaat berguna kepada Jordan yang dilihat akan diberi lonjakan besar-besaran dalam divisyen pertengahan (mid-card) di Raw selepas ini. Tidak mustahil, dengan ‘bapanya’ Kurt Angle yang menjawat jawatan Pengurus Am Raw dan sentiasa akan mengiringi Jordan di gelanggang, laluan Jordan untuk terus menyerlah akan terus cerah. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, Jordan akan berpotensi untuk menjadi Shelton Benjamin di era ini.

Satu lagi yang menarik untuk diperkatakan tentang acara Raw semalam adalah aksi perlawanan beregu di antara bekas Juara Regu Raw, The Hardy Boyz menentang bekas Juara Regu NXT, The Revival.



Setelah aksi cemerlang Scott Dawson dan Dash Wilder terencat seketika akibat kecederaan rahang yang dialami Wilder beberapa bulan lalu, kini mereka kembali dalam usaha pembuktian yang mereka adalah pasangan regu yang tidak boleh dipandang enteng dan menyasarkan adik beradik Hardys untuk melebarkan legasi mereka.

Terus terang, penulis merasakan The Revival amat berbakat dengan menampilkan corak perlawanan regu yang klasik serta energetik. Tambahan pula, menonton Wilder bergusti ibarat menyaksikan lagenda The Enforcer Arn Anderson beraksi di tahun 90an dahulu. Beberapa gerakan regu yang licik berjaya mereka laksanakan memaksa Jeff dan Matt terpaksa akur dengan kehebatan mereka.

Tanpa berselindung, sudah tentu Wilder dan Dawson kini mensasarkan Kejuaraan Regu Raw yang kini disandang oleh pasangan Cesaro dan Sheamus. Setelah New Day dan Hardys, Wilder melalui catatan di Twitter secara sinis meminta agar Kurt Angle memberikan peluang untuk mereka bergelar juara dengan segera.
 
Secara kesimpulannya, acara Raw semalam boleh dikatakan agak menarik dan membuka lembaran baharu untuk para WWE Universe menantikan episod seterusnya.



Foto ihsan: WWE.com

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Advertisement

Must Watch Video