Skip to main content

Tenis

Pengalaman Martinez bantu Muguruza ke final

garbine-muguruza-140717.jpg
Garbine Muguruza berharap kata-kata perangsang daripada Conchita Martinez akan menjadi azimat buatnya meraih gelaran Grand Slam Wimbledon sulungnya selepas mara ke perlawanan akhir dengan menundukkan Magdalena Rybarikova.

Muguruza dikecewakan oleh Serena Williams dalam aksi Grand Slam pertamanya di All England Club, dua tahun lalu, namun dia berpeluang melakukannya sekali lagi untuk menjulang Venus Rosewater Dish, esok. 

Pemain Sepanyol itu hanya memerlukan tempoh 64 minit untuk menewaskan pemain penuh kejutan, Rybarikova, 6-1, 6-1, dalam aksi separuh akhir berat sebelah di Centre Court. 

Muguruza gagal memenangi sebarang gelaran sejak memenangi Terbuka Perancis, tahun lalu, sambil berharap tunjuk ajar bekas juara Wimbledon pada 1994, Martinez, mampu membantunya mengatasi Venus Williams. 

"Saya bermain dengan cukup baik. Dia seorang pemain yang sangat berbakat dan beraksi hebat dalam kejohanan ini. Namun, hari ini saya berasa sangat yakin dan semuanya berjalan lancar," kata pilihan ke-14 kejohanan itu kepada BBC selepas menyingkirkan pencabarnya dari Slovakia itu. 

"Apabila anda pernah menghadapi situasi ini, anda tahu bagaimana untuk mengendalikan perlawanan seperti ini dengan baik.

"Saya tidak ingat bagaimana perasaan saya ketika memenangi Terbuka Perancis, namun saya berasakan telah beraksi dengan baik dan hanya meneruskan perjuangan untuk mara ke perlawanan akhir. 

"Conchita tahu bagaimana untuk menang di sini dan saya harap dia mampu memberi tunjuk ajar kepada saya -- dia sentiasa membantu saya dengan menawarkan pengalaman dan panduan.

"Saya mahu menikmati kemaraan ke final. 

"Ia akan menjadi perlawanan akhir yang hebat, tidak kira apa pun."
 

Advertisement

Must Watch Video