Atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, berkata pencapaian di Sukan Paralimpik London 2012 telah membantunya untuk menjalani persiapan rapi sebelum mengecapi kejayaan di temasya Paralimpik Rio 2016.
Pada 2012, Ziyad meraih pingat gangsa dalam acara lontar peluru F20 dengan catatan 15.21 meter.
Usaha selama empat tahun dalam membuat persiapan sebelum ke Rio akhirnya membuahkan hasil apabila menyaksikan anak jati Malaysia ini melakar sejarah meraih pingat emas dengan catatan rekod dunia Paralimpik 16.84 meter.
Ziyad berkata pengalamannya di London telah menjadi pembakar semangat untuk meraih kejayaan bersejarah itu.
“Pengalaman di London banyak membantu saya. Saya membawa pulang pingat gangsa dan sejak itu, saya lebih bersemangat menjalani latihan bagi persiapan selama empat tahun sebelum ke Rio," katanya ketika ditemubual dalam Nadi@1 di Astro Arena, hari ini.
Jurulatihnya, Mohd Faizol Harun, berkata Ziyad telah menjalani transformasi bagi mempersiapkan diri untuk beraksi di Rio.
“Kejayaan Ziyad dapat dilihat daripada transformasi yang telah Ziyad jalani sepanjang empat tahun.
"Institut Sukan Negara (ISN) telah memberikan program latihan bebanan yang telah membantu meningkatkan kebolehan fizikalnya, sekali gus membantunya untuk melakukan lontaran-lontaran yang lebih baik,” ujar Faizol.
Dengan kejayaan Ziyad meraih pingat emas, Faizol yakin Ziyad akan terus cuba untuk melakukan pencapaian yang lebih baik pada masa akan datang walaupun kini mendapat perhatian daripada pihak media.
“Saya mempercayai Ziyad untuk tidak dikaburi populariti kerana sejak kembali dari London, dia sudah banyak menghadiri rancangan radio dan mendapat perhatian media tetapi saya yakin dan percaya, Ziyad seorang atlet yang berdisiplin dan menyedari kepentingan untuk menjalani latihan.”
Sukan Lain
Pengalaman di London bantu Ziyad raih kejayaan di Rio
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena