Skip to main content

Sukan Lain

Pengajaran buat Fatehah, kata Beasley

fatehah_1.jpg
"Ia pengajaran terbaik buat Fatehah Mustapa sebelum menghadapi Sukan Komanwel," demikian pandangan ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley.

Pandangan itu dibuatnya selepas menyaksikan pelumba wanita negara itu tidak dapat menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik acara pecut dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, semalam.

Fatehah menyertai saingan pecut dengan sasaran menduduki tempat podium selepas meraih gangsa acara 500m ujian masa individu, kelmarin.

Begitupun, dia ketinggalan 0.47s kepada pelumba dari China, Guo Yufang (11.582s), di peringkat suku akhir, sekali gus gagal meneruskan kemaraan.

Sedikit kesilapan yang dilakukan mengundang padah buat Fatehah, dan Beasley beranggapan ia dapat membantu pelumba itu lebih fokus bagi menghadapi cabaran di Gold Coast, April nanti.

"Ya, Fatehah tidak berada pada tahap terbaik dan kami tahu kami perlu perbaikinya. Kami perlu bersedia untuk Sukan Komanwel dan kami berharap dapat memperbaikinya sebelum April," kata jurulatih itu.

Dalam pada itu, Beasley percaya jaguh keirin negara, Azizulhasni Awang, tetap berada pada tahap terbaik sekalipun hanya meraih gangsa acara berkenaan dalam ACC kali ini.

Jelasnya, apa yang lebih penting ialah momentum yang perlu dibawa oleh Azizulhasni dalam misi mempertahankan jersi pelangi dalam Kejohanan Dunia di Belanda, minggu depan, di samping menjadi antara taruhan pemburuan pingat dalam Sukan Komanwel.

"Dia berada pada tahap terbaik dalam kariernya. Jika kita lihat catatan masanya ketika separuh akhir, Azizulhasni mencatat masa di bawah 10.0s, antara prestasi terbaik dalam hidupnya.

"Azizulhasni sudah bersedia untuk beraksi di peringkat dunia dan Sukan Komenwel nanti," tambah Beasly.

Advertisement

Must Watch Video