Skip to main content

Sukan Asia

Pelayaran: Pemburuan tiket Sukan Olimpik makin rancak

muhammad-fauzi-kaman-shah.jpg
Skuad pelayaran negara merancang strategi untuk menambah jumlah pelayar yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di sebalik kejayaan Muhammad Fauzi Kaman Shah meraih pingat emas terbuka laser 4.7 selain sumbangan satu perak dan tiga gangsa menerusi pelayar senior.

Emas Fauzi di Pusat Pelayaran Nasional Jakarta membuktikan Malaysia masih lagi antara yang terbaik di benua ini.

Ini bermakna skuad pelayaran mengekalkan rentak emas sejak 2014 menerusi acara 420 lelaki walaupun ia tidak dipertandingkan di Jakarta.

Apa yang lebih penting, pelayaran mencatat rekod sebagai sukan pertama di Malaysia berjaya layak ke temasya Olimpik Tokyo.

Khairulnizam Mohd Afendy memenangi perak menerusi acara laser standard sementara Nur Shazrin Mohamad Latif (gangsa laser radial) tetapi ia sudah cukup untuk membantu mereka ke Sukan Olimpik Tokyo.

Malaysia berpeluang menambah jumlah pelayar ke Tokyo menerusi acara 470 lelaki dan wanita.

Syaratnya, mereka perlu menyertai empat siri Piala Dunia yang bermula di Enoshima, Jepun, November depan untuk memperbaiki ranking dunia.

Bagaimanapun, bagi Khairul dan Syazrin, persiapan ke Tokyo sudah pun bermula.

"Saya akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Perak dan saya akan cuba tukar kepada kategori yang lebih mencabar," kata Fauzi.

Sementara itu, menurut Khairulnizam: "Saya akan menilai kedudukan saya dalam Sukan Olimpik Tokyo terlebih dahulu. 

"Jika saya mengakhiri saingan dalam kelompok terbaik, maka saya akan beraksi dalam edisi Sukan Asia yang seterusnya."

Nur Syazrin berharap jejaknya akan dituruti rakan-rakan lain sambil melontarkan cabaran kepada mereka.

"Saya harap atlet-atlet lain akan terus bekerja keras lagi. 

"Bukan mudah untuk layak, tetapi kalau mereka ada usaha dan doa, pasti akan ada hasilnya," katanya. 

Secara keseluruhan, pelayaran menyasarkan enam wakil negara akan beraksi di Tokyo, secara tidak langsung mencatatkan rekod penyertaan paling ramai dalam sejarah Sukan Olimpik.

Di Jakarta, pelayaran wajar mendapat pujian menerusi satu emas, satu perak dan tiga gangsa.

Advertisement

Must Watch Video